SUKAN

Habib Haroon tonggak import baharu TFC

14/06/2021 05:21 PM

KUALA TERENGGANU, 14 Jun -- Desas-desus mengenai kehadiran pemain import baharu kelahiran Bahrain ke dalam skuad Penyu akhirnya terjawab apabila Terengganu FC (TFC) mengesahkan penyertaan Habib Haroon hari ini.

TFC dalam kenyataan memaklumkan pemain berusia 21 tahun itu mengisi kuota import Asia menggantikan Christopher Herd yang mengalami kecederaan.

"Pemain muda ini telah beraksi di Liga Bahrain selama tiga tahun dan memutuskan untuk menyertai TFC bagi mengharungi baki saingan liga musim ini.

"Kehadiran beliau sudah pasti akan membantu memperkuatkan jentera tengah skuad Penyu bagi menghadapi saingan Piala Konfederansi Bola Sepak Asia (AFC) serta Liga Malaysia (Liga-M) yang bersambung Julai depan,” menurut kenyataan itu.

Sebelum menyertai TFC, Habib pernah beraksi bersama kelab divisyen 2 Liga Bahrain, Al Khalidiya secara pinjaman daripada juara divisyen 1, Al Riffa SC.

Selain berpengalaman bermain dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia, pemain berketinggian 1.70 meter itu juga beraksi dalam saingan Piala AFC musim lepas.

Sementara itu, Habib berkata beliau sangat teruja untuk beraksi bersama TFC yang disifatkan sebagai sebuah kelab dengan memiliki reputasi besar di Malaysia.

Menurutnya, Liga Malaysia adalah antara pentas terbaik untuk beliau terus mengasah bakat dan mengumpul pengalaman demi perjalanan karier bola sepaknya yang masih panjang. 

"Saya adalam keadaan baik. Saya sudah bersedia sebelum datang ke sini. Saya sudah siap sedia untuk liga,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan