AM

Pelan Pembangunan Pelancongan Sabah Jangka Panjang Siap Hujung Tahun Ini

07/06/2026 04:15 PM

TUARAN, 7 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) sedang merangka Pelan Pembangunan Pelancongan Sabah jangka panjang yang komprehensif dan dijangka siap sebelum penghujung tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pelan tindakan itu akan menetapkan hala tuju baharu bagi pertumbuhan sektor pelancongan dengan arah yang jelas, menangani aspek kemampanan dan cabaran seperti hubungan penerbangan, mencerminkan aspirasi rakyat tempatan serta menyediakan kerangka pembangunan yang melangkaui pelan induk terdahulu.

Beliau berkata dengan pelbagai program yang sedang dilaksanakan ketika ini, Sabah berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran empat juta ketibaan pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 serta membuat persediaan bagi Tahun Melawat Sabah 2027.

“Tahun lepas Sabah mencatat prestasi memberangsangkan dengan menerima 3.79 juta ketibaan pelawat meningkat 20.8 peratus berbanding tahun sebelumnya, yang menjana pendapatan RM8.74 bilion dan mewujudkan hampir 400,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas merasmikan Hilton Garden Inn Kota Kinabalu di Kampung Pulau Simpangan, Kuala Matinggi di sini hari ini.

Hajiji berkata walaupun terdapat faktor luaran yang boleh mempengaruhi sektor pelancongan, KePKAS terus berusaha mengimbangi aspek kemampanan, memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti serta memanfaatkan inovasi digital bagi membina industri pelancongan yang berdaya tahan dan bernilai tinggi.

Beliau berkata ia bagi memastikan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar dan budaya, selain mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan pilihan di peringkat serantau dan global.

“Pembangunan seperti itu menyokong beberapa teras utama strategi pertumbuhan pelancongan, termasuk memperkukuh pilihan penginapan premium dan mampan, mewujudkan peluang pekerjaan serta pembangunan kemahiran penduduk tempatan, memperkasa perusahaan berasaskan komuniti melalui rantaian bekalan dan mempromosikan pelancongan yang menghormati serta memelihara alam sekitar.

“Pembukaan Sheraton Kota Kinabalu pada awal bulan lepas, bersama hotel yang bakal dibina atau kini berada dalam peringkat pembinaan memberi isyarat jelas Sabah kekal sebagai destinasi yang kompetitif dan menarik bagi pelaburan berkualiti dalam sektor pelancongan serta hospitaliti,” katanya.

Hajiji ketika mengulas mengenai Hilton Garden Inn berkata ia adalah sebahagian daripada komitmen pelaburan berterusan yang lebih besar dengan nilai dianggarkan sekitar RM500 juta merangkumi pembangunan dan projek Hilton pada masa hadapan di Sabah.

Hajiji berkata hartanah yang kini dibangunkan semula sebagai Hilton Garden Inn Kota Kinabalu itu terletak di kampung halamannya Tuaran, iaitu sebuah daerah yang berkembang pesat dan mempunyai potensi besar untuk berkembang lebih jauh, khususnya sebagai hab pelancongan yang memberi manfaat kepada perniagaan sekitar, usahawan tempatan serta komuniti.

"Hilton Garden Inn Kota Kinabalu turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan menerusi penciptaan peluang pekerjaan dengan majoriti pekerjanya terdiri daripada penduduk Tuaran, sekali gus melambangkan visi bersama membangunkan sektor pelancongan bernilai tinggi dan mampan yang memberi manfaat kepada ekonomi serta komuniti tempatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan