BERITA COVID–19   Jumlah terkini kes COVID-19 di Malaysia dan beberapa negara dunia | COVID: Lelaki 44 tahun kematian terbaharu di Singapura | Program turun padang, lembutkan warga emas terima vaksin | Mulai Selasa, hanya individu positif COVID-19 menerusi ujian RT-PCR dimasukkan ke PKRC Kelantan | MAECC gesa kerajaan percepat kelulusan penggunaan Ivermectin untuk rawat COVID-19 | 
AM

1,760 dos vaksin selamat mendarat di empat PPV di pedalaman Miri

11/06/2021 07:02 PM

KUCHING, 11 Jun -- Sejumlah 1,760 dos vaksin COVID-19 jenis Sinovac selamat mendarat di empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan pedalaman Miri hari ini menerusi penerbangan ihsan pesawat AW139 (9M BOD) milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata vaksin itu tiba di PPV Klinik Kesihatan (KK) Bario, KK Mulu, KK Long San dan KK Long Bedian pada 10.50 pagi hingga 1.15 tengah hari tadi.

Beliau yang meninjau persiapan penerbangan penghantaran vaksin itu berkata setiap klinik di kawasan pedalaman yang menerima bekalan vaksin akan dilengkapi bekalan elektrik stabil dan peti sejuk jenis ‘top loading’ untuk penyimpanan vaksin.

“Penerbangan seterusnya untuk bekalan vaksin ini akan dilakukan secara berperingkat dan berterusan ke kawasan pedalaman Miri mengikut jadual yang disediakan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Miri bersama pihak bomba,” kata Lee merangkap Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri dalam kenyataan dikeluarkan jawatankuasa itu hari ini.

Semalam, Bahagian Miri menerima bekalan vaksin Sinovac dari Kuala Lumpur menerusi penerbangan khas pesawat Malaysia Airlines yang tiba pada 11.15 pagi dan pengedaran vaksin ke PPV dilakukan menggunakan jalan darat dengan diiringi polis.

Lee berkata aktiviti pemberian suntikan vaksin di kawasan pedalaman Miri akan bermula esok dan JPBB Miri telah meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pegawai Daerah di kawasan terbabit menghubungi penduduk kampung supaya hadir untuk menerima vaksinasi mengikut jadual ditetapkan.

“Bagi penduduk yang belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin, mereka boleh mendaftar di lokasi pemberian vaksin berkenaan kerana di kawasan luar bandar, pendaftaran boleh dilakukan secara manual dan tidak bergantung sepenuhnya dengan aplikasi MySejahtera,” katanya.

Beliau berkata selain bomba, perkhidmatan penerbangan tempatan Hornbill Skyways akan turut membantu proses penghantaran vaksin menggunakan helikopter ke 23 lagi KK di kawasan pedalaman di Miri.  

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan