AM

Laluan Baharu AirAsia Hubung Jakarta-Kota Bharu Bakal Rancakkan Pelancongan Kelantan

16/06/2026 08:46 PM

KOTA BHARU, 16 Jun (Bernama) -- Laluan baharu AirAsia menghubungkan Jakarta-Kota Bharu yang memulakan penerbangan sulung hari ini dengan ketibaan 118 pelancong, bakal merancakkan lagi sektor pelancongan dan ekonomi Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan Datuk Kamaruddin Md Nor berkata manakala penerbangan pertama dari Kota Bharu ke Jakarta pada sebelah pagi turut menerima sambutan menggalakkan dengan 184 penumpang direkodkan.

“Ini merupakan satu permulaan yang amat baik hasil kerjasama AirAsia dalam mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia, khususnya melalui Kota Bharu sebagai pintu masuk utama ke Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan penerbangan sulung itu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini, hari ini.

Kamaruddin berkata laluan baharu itu berpotensi merancakkan sektor pelancongan serta memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara dari aspek ekonomi, perdagangan dan kebudayaan.

Katanya, kerajaan negeri optimis laluan baharu itu akan terus mendapat sambutan berdasarkan maklumat daripada AirAsia yang menunjukkan tempahan bagi dua minggu akan datang telah mencapai kira-kira 70 peratus kapasiti.

Beliau berkata kerajaan negeri juga berhasrat menjadikan Kelantan sebagai hab penerbangan serantau dengan membuka lebih banyak laluan terus ke destinasi utama ASEAN pada masa depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan