AM

MUIP sumbang kelengkapan solat, makanan bernilai RM500,000 kepada PKRC

12/06/2021 12:10 AM

KUANTAN, 11 Jun -- Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyediakan kelengkapan solat dan makanan bernilai kira-kira RM500,000 kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MUIP Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata inisiatif berkenaan telah dilaksanakan semenjak PKRC mula beroperasi di negeri ini pada tahun lepas dengan tujuan memudahkan pesakit di pusat berkenaan mendirikan solat.

Antara bantuan yang diberikan ialah al-Quran, sejadah, telekung, kain pelikat, biskut dan minuman. 

"Sebelum ini kami telah menyerahkan sendiri sumbangan seumpama ini di beberapa PKRC, dan hari ini MUIP serahkan kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sebagai stok untuk mereka agihkan kepada mana-mana pusat kuarantin yang memerlukan.

"Ini adalah antara usaha kita bersama-sama untuk berhadapan dengan pandemik COVID-19 ini, dan bantuan berterusan ini diharap dapat membantu pesakit menunaikan solat dengan lebih selesa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perubatan 4 HTAA Dr Rafidah Mohd Salleh berkata pihaknya amat menghargai sumbangan dan keprihatinan MUIP terhadap pesakit COVID-19 yang sedang menjalani kuarantin di PKRC.

Sumbangan berkenaan akan diagihkan di empat PKRC di bawah seliaan HTAA iaitu Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Kompleks Sukan Pahang, Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Kejururawatan).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan