EKONOMI

BECM pacu inisiatif galak Pensijilan Venue Acara Perniagaan Selamat

07/06/2021 01:58 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jun   -- Majlis Acara Perniagaan Malaysia (BECM) sedang memacu satu inisiatif untuk menggalakkan penyedia venue acara mendapatkan Pensijilan Venue Acara Perniagaan Selamat.

BECM dalam satu kenyataan hari ini berkata pensijilan itu adalah bertujuan untuk memastikan penganjuran acara yang selamat dan terjamin bagi penganjur dan juga peserta, sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk menangani cabaran yang dihadapi akibat daripada pandemik COVID-19.

Menurutnya, inisiatif itu dijalankan secara kerjasama dengan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) di bawah pengawasan Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan Dan Pameran Malaysia (MACEOS). 

Pengerusi BECM Alan Pryor berkata program pensijilan itu akan menilai penyesuaian venue kepada norma baharu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan pengetahuan pasukan dalam bahagian seperti operasi keseluruhan, perkhidmatan makanan, hospitaliti dan standard operasi.

“Kami menggesa semua venue untuk menimbang mendapatkan pensijilan ini kerana ia akan mencerminkan kredibiliti dan kepakaran premis dalam menyediakan persekitaran acara yang selamat dan terkawal, yang seterusnya meningkatkan keyakinan awam dan perniagaan terhadap standard antarabangsa operasi venue di Malaysia. 

“Kami mendapat rangsangan daripada langkah yang diambil oleh BECM Alliance Partners kami untuk memastikan pensijilan keselamatan tambahan yang akan meningkatkan profil Malaysia sebagai destinasi selamat bagi acara perniagaan,” katanya.

Pryor berkata langkah-langkah dipertingkat sedemikian mencerminkan komitmen rantaian bekalan industri untuk bekerjasama bagi mengukuhkan nilai Malaysia sebagai destinasi acara perniagaan yang selamat.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan