AM

Program MySI 2021 tawar dana RM6.5 juta

31/05/2021 02:04 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mei -- Dana Program Malaysia Social Innovation (MySI) 2021 menawarkan sebanyak RM6.5 juta sebagai usaha kerajaan mengetengahkan teknologi tempatan yang berinovatif dalam menangani isu-isu komuniti setempat.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata penawaran dana itu juga sebagai usaha melonjak ekonomi negara dari negara pengguna teknologi kepada pengeluar teknologi serta menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi dan berpendapatan tinggi.

Beliau berkata objektif MySI 2021 adalah untuk meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat terutamanya kepada golongan B40 dan kumpulan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 melalui pelaksanaan projek aplikasi teknologi tempatan yang dibangunkan serta sedia dilaksanakan secara mampan.

“Program MySI memfokuskan kepada bidang-bidang keutamaan yang merujuk kepada Rangka Kerja 10-10 Malaysian Science, Technology, Innovation and Economy (MySTIE) antaranya termasuklah tenaga, perniagaan dan perkhidmatan kewangan.

"Pelaksanaan Program MySI dari tahun 2015 sehingga 2020 dengan dana sebanyak RM48 juta telah membangunkan sebanyak 234 projek aplikasi teknologi tempatan berinovatif yang dilaksanakan di seluruh Malaysia,” katanya ketika melancarkan Majlis Pelancaran Penawaran Dana MySI 2021 secara maya hari ini.

Ahmad Amzad berkata melalui Program MySI itu lebih kurang 100,000 penerima manfaat telah dibantu secara langsung dan tidak langsung dalam meningkatkan produktiviti dan pendapatan, mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta memulihara alam sekitar.

Beliau berkata antara projek MySI yang telah berjaya dilaksanakan dan memberi impak kepada komuniti setempat adalah Projek Bekalan Air Bersih untuk komuniti Kampung Rumindako Kiulu, Tamparuli, Sabah dengan menggunakan teknologi Sistem Membran Penapisan Air Minuman Mudah Alih.

Pelaksanaan projek tersebut menurut Ahmad Amzad telah memberi impak kepada 1,800 penerima dan menjimatkan kos bekalan air kepada 200 isi rumah dengan anggaran penggunaan air sebanyak RM240 seisi rumah setahun atau RM20 sebulan.

Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam kenyataan memaklumkan telah membuka penawaran Dana MySI 2021 bermula hari ini hingga 30 Jun 2021 bagi fasa pertama dan Ogos untuk fasa kedua, terbuka kepada semua agensi kerajaan, institusi pengajian awam dan swasta, industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut YIM, permohonan pada tahun ini boleh dilakukan secara dalam talian menerusi sistem Innomap MySI yang boleh dicapai melalui pautan https://mysi.innomap.my selain mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Program MySI 2021 di pautan sama.

MySI 2021 menawarkan peruntukan dana keseluruhan sebanyak RM6.5 juta iaitu RM6 juta bagi projek baharu di bawah Program MySI manakala RM500,000 bagi projek di bawah Program Alumni MySI. 

"Program Alumni MySI bertujuan memperkasa projek sedia ada yang telah dilaksanakan sebelum ini di bawah Program MySI tahun 2015-2017 dan MySI 2019-2020 bagi memberikan dua kali ganda impak sosial kepada komuniti setempat," demikian menurut kenyataan tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan