AM

Malaysia Berisiko Lahirkan Generasi Mahir AI Tapi Kurang Daya Fikir Kritikal - Pakar

10/06/2026 12:11 PM

KUALA LUMPUR,  10 Jun (Bernama) -- Malaysia berhadapan risiko melahirkan generasi mahir menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) tetapi kurang keupayaan untuk berfikir secara kritikal dan membuat pertimbangan sendiri, sekiranya kemahiran numerasi dan daya fikir gagal diperkukuh.

Pakar analitik data dan kesihatan digital Prof Madya Dr Kalaivani Chellappan berkata kebimbangan tersebut timbul, ketika AI dan pelbagai teknologi digital semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan harian termasuk dalam pembelajaran, penyelidikan dan penyelesaian tugasan.

Pensyarah kanan Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata walaupun teknologi mampu meningkatkan kecekapan dan memudahkan proses pembelajaran, kebergantungan berlebihan terhadapnya boleh menjejaskan penguasaan kemahiran asas yang penting untuk membentuk keupayaan berfikir secara rasional serta membuat pertimbangan yang tepat.

Kebimbangan itu disokong oleh kajian yang dijalankannya selama dua tahun melibatkan 12 sekolah di kawasan pinggir bandar daerah Sepang.

Kajian yang bermula dari Mac 2024 hingga Februari 2026 itu mendapati ,lebih 80 peratus murid berusia antara sembilan hingga 12 tahun gagal menyelesaikan soalan matematik yang memerlukan kemahiran pengiraan dan penaakulan asas.

Kalaivani berkata kajian tersebut turut menunjukkan bahawa majoriti murid, menggunakan kalkulator telefon pintar dan aplikasi AI seperti ChatGPT bagi membantu menyelesaikan masalah matematik.

“Bagi mereka, tidak perlu bersusah-payah mempelajari kaedah pengiraan atau menyelesaikan soalan matematik, kerana sudah ada alat yang boleh memberikan jawapan. Keadaan ini menjadi masalah apabila teknologi digunakan sebagai pengganti proses pembelajaran, bukannya sebagai pelengkap,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dapatan susulan kajian mendapati murid yang terlalu bergantung kepada alat bantuan, digital cenderung mencatat pencapaian lebih rendah dalam mata pelajaran matematik apabila memasuki peringkat sekolah menengah.

Kalavani berkata keadaan itu, menunjukkan teknologi tidak boleh menggantikan sepenuhnya proses pembelajaran asas, kerana penguasaan numerasi dan kemahiran berfikir perlu dibangunkan terlebih dahulu sebelum AI dimanfaatkan secara berkesan sebagai alat sokongan.

“Masalahnya bukan kerana kanak-kanak tidak bijak. Akan tetapi, gaya hidup moden semakin mengurangkan peluang untuk mereka berfikir menggunakan nombor dalam kehidupan seharian. Ini bukan sekadar isu pencapaian akademik, sebaliknya mencerminkan kemerosotan keupayaan berfikir, menganalisis dan membuat pertimbangan secara rasional.

“Kalkulator, ChatGPT boleh memberikan jawapan. Namun keupayaan berfikir membolehkan seseorang menentukan sama ada jawapan itu munasabah atau tidak. Keupayaan berfikir membolehkan seseorang itu menilai sama ada maklumat tersebut boleh dipercayai atau tidak,” katanya.

Mengulas langkah  menangani isu itu, Kalaivani berkata usaha memperkukuh kemahiran numerasi tidak boleh diserahkan kepada sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan ibu bapa dan komuniti.

Beliau berkata ibu bapa boleh melibatkan anak-anak dalam aktiviti harian seperti menyediakan belanjawan perbelanjaan, beli-belah, mengukur bahan masakan, menganggarkan masa perjalanan dan membaca jam analog, bagi menggalakkan kemahiran penaakulan serta penyelesaian masalah secara semula jadi.

Pada masa sama, beliau mencadangkan sekolah memberi penekanan lebih besar kepada aplikasi matematik dalam situasi dunia sebenar, berbanding hanya menumpukan kepada teknik menjawab peperiksaan.

“Solusinya bukan untuk menolak teknologi. Respons seperti itu tidak realistik dan tidak produktif. Sebaliknya Malaysia perlu membina budaya berfikir.

Komuniti seharusnya mewujudkan persekitaran yang kanak-kanak terlibat dengan nombor secara natural menerusi sukan, permainan, perancangan, perkebunan, pembersihan rumah, memasak, projek membaiki dan mengukir kayu dan menyelesaika masalah hari-hari.

“Paling penting ialah kita perlu berhenti melihat matematik sebagai hanya satu mata pelajatan di sekolah. Matematik ialah bahasa pemikiran. Setiap resit, jadual, recipi, keputusan bola sepak, bil isi minyak, penyata bank dan perkiraan pembinaan merupakan pendidikan mengenai matematik yang akan berlaku,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan