EKONOMI

Syarikat Malaysia Aerodyne ganding bahu dengan firma Thailand sediakan penyelesaian dron

21/05/2021 12:26 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei -- Syarikat tempatan, Aerodyne Group telah membentuk satu  syarikat usaha sama dengan AI and Robotics Ventures Company Limited (ARV) dan Digital Creation Co Ltd. (DC) dari Thailand, dikenali sebagai AeroSky (Thailand) Company Ltd untuk menyediakan penyelesaian perusahaan berasaskan dron di seluruh pasaran Thailand.

Aerodyne, syarikat perkhidmatan dron global yang berpangkalan di Cyberjaya, menguasai kepentingan 34 peratus sementara ARV dan DC, masing-masing 33 peratus kepentingan dalam syarikat usaha sama berkenaan yang berdaftar di Thailand.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, syarikat-syarikat itu menyatakan usaha sama ini akan memanfaatkan trend dan peluang transformasi digital.

"Untuk menyediakan perkhidmatan yang tiada tandingannya kepada pelanggan dalam industri telekomunikasi, elektrik, minyak dan gas serta industri lain yang melibatkan infrastruktur, perniagaan ini akan menggabungkan kekuatan teras kepakaran ARV dalam penyediaan dron dan penyelesaian kepintaran buatan (AI) dan robotik yang sofistikated; dron bersepadu dan penyelesaian perisian-sebagai-perkhidmatan Aerodyne Group; dan teknologi pembelajaran dan pemantauan mesin canggih DC ”.

AeroSky juga membolehkan pemeriksaan dan pemantauan infrastruktur menjadi lebih berkualiti, cepat dan dengan kos yang murah. Perkhidmatan ini juga dapat mengurangkan risiko bekerja di ketinggian yang biasanya memerlukan perancah.

Pengurus Besar ARV Dr Thana Slanvetpan berkata pelanggan AeroSky akan mendapat manfaat daripada kemampuan ARV untuk mengembangkan dron pintar dan platform yang memenuhi keperluan khusus industri serta mempunyai rangkaian pasaran yang luas.

"Usaha sama ini juga akan berfungsi sebagai forum untuk meningkatkan nilai dalam pasaran Thailand," katanya.

Sementara itu, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Aerodyne Kamarul A Muhamed menyatakan bahawa terdapatnya keperluan mendesak bagi pemilik infrastruktur aset yang telah lama untuk mengekalkan dan memastikan aset mereka terus beroperasi pada tahap optimum sehingga jurang itu ditutup.

“Inilah masanya bagi syarikat usaha sama kami, AeroSky menyediakan penyelesaian pengurusan dan pemeriksaan aset yang lebih pantas, murah dan selamat,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif  DC Thanarat Leetrakul pula berpendapat AeroSky mempunyai banyak kelebihan daya saing yang kuat dalam pelbagai bidang kenderaan udara tanpa pemandu atau industri UAV.

ARV adalah anak syarikat teknologi yang dimiliki sepenuhnya oleh PTT Exploration and Production Public Company Ltd (PTTEP) Thailand yang dikhususkan untuk menyediakan penyelesaian bagi masalah kompleks dengan menggunakan teknologi AI dan Robotik sementara DC adalah syarikat berasaskan teknologi terkemuka yang berpengkhususan dalam membawa penyelesaian global yang paling inovatif untuk pasaran Thailand.

- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan