EKONOMI

MTDC METERAI PERJANJIAN DENGAN KUMPULAN DARI JEPUN BAGI SERTAI DANA VC

19/05/2021 09:10 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei  -- Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) menandatangani perjanjian untuk menyertai Real Tech Fund Investment Partnership Global 1, dana modal teroka yang ditubuhkan terutamanya untuk melabur dalam syarikat yang tidak tersenarai di rantau ASEAN dengan teknologi maju.

Anak syarikat Khazanah Nasional itu berkata pihaknya menandatangani perjanjian dengan Real Tech Holdings Co Ltd dari Jepun untuk memformalkan penyertaannya dalam dana itu, bertujuan untuk memberikan sokongan kepada syarikat penerima pelaburan dalam pelbagai aspek terutamanya untuk pengembangan ke pasaran Jepun.

Sebanyak 10 syarikat besar Jepun menyertai dana itu yang mempunyai saiz sebanyak US$31 juta dan MTDC adalah satu-satunya peserta bukan Jepun.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus berkata penyertaan agensi dalam dana itu akan memberinya peluang untuk melabur bersama dengan syarikat Jepun dan kumpulan industri dalam syarikat berasaskan teknologi yang berpotensi.

“Ia juga merupakan peluang kepada MTDC untuk mencadangkan syarikat yang berpotensi dalam ekosistem MTDC kepada dana tersebut. Ia dijangka mewujudkan akses yang lebih baik kepada syarikat Malaysia yang terpilih berkaitan usaha dan kerjasama di luar negara, terutamanya dalam pasaran Jepun,” katanya.

Pada masa sama, penyertaan MTDC secara tidak langsung akan menarik minat syarikat Jepun terhadap perusahaan kecil dan sederhana Malaysia berasaskan teknologi untuk bekerjasama dalam bentuk pelaburan dan pemindahan teknologi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan