KUALA LUMPUR, 10 Mei -- Malaysia kehilangan seorang warganegara yang banyak menyumbang kepada pembangunan air di luar bandar dan bidang kejuruteraan kesihatan awam di negara ini.
Sekarajasekaran Arasaratnam, yang meninggal dunia pada 7 Mei lepas pada usia 93 tahun, adalah bekas Pengarah Perkhidmatan Kejuruteraan di Kementerian Kesihatan (KKM).
Mendiang merupakan individu di sebalik tadbir yang telah membuat perancangan dan pelaksanaan semua perkhidmatan kejuruteraan dan radiasi yang ada di semua hospital awam di Malaysia.
Sebagai memberi penghormatan, KKM memaklumkan dalam laman Facebooknya bahawa mendiang antara individu yang bertanggungjawab memulakan penubuhan unit kejuruteraan kesihatan awam di KKM pada akhir tahun 1960-an dan unit tersebut sekarang menjadi unit yang penting di kementerian itu.
"Ramai jurutera telah dilatih oleh beliau dan menjadi jurutera di beberapa kementerian, sektor swasta dan agensi di luar negara," menurut posting berkenaan.
Sekarajasekaran yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) akibat pneumonia meninggalkan isterinya, Dr C.Sunita Vethavanam dan tiga anak.
Upacara pengebumian akan diadakan pada 11 pagi, 12 Mei di Cheras Christian Cemetery selepas upacara sembahyang di Gereja Tamil Methodist, Brickfields di sini.
Mendiang menyertai KKM pada 1968 sebagai Jurutera Kanan Kesihatan Awam, kemudian menjadi Ketua Jurutera Kesihatan Awam pada 1972 sebelum dilantik sebagai Pengarah Perkhidmatan Kejuruteraan, KKM dari 1980 hingga 1983.
Beliau juga merupakan Pengasas dan Pengarah Erinco Sdn Bhd.
KKM juga menzahirkan takziah kepada keluarga mendiang dan menyifatkan negara kehilangan seorang yang banyak berjasa dalam bidang kejuruteraan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial