JENAYAH & MAHKAMAH

16 lelaki leka berjudi ditahan

08/05/2021 05:36 PM

GEORGE TOWN, 8 Mei -- Sekumpulan lelaki yang sedang leka bermain judi bertindak terjun ke dalam parit dan bersembunyi dalam semak, selepas tempat mereka berjudi iaitu di belakang sebuah stor penyimpanan sayur di Jalan Munshi Abdullah di sini, di serbu awal pagi tadi.

Namun tindakan mereka untuk bersembunyi bagi mengelakkan ditahan tidak berjaya, selepas kawasan tersebut telah dikepung terlebih dahulu oleh Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Mohd Ra'ais berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, pihaknya menjalankan Ops Dadu dan menyerbu kawasan tersebut pada 1.45 pagi.

“Dalam serbuan itu, polis menahan 16 lelaki termasuk seorang penganjur perjudian itu, yang kesemuanya berusia 23 hingga 50 tahun dan pemeriksaan mendapati, mereka terlibat dengan pertaruhan judi jenis daun pakau.

“Penganjur berusia 50 tahun itu dipercayai telah menjalankan kegiatan itu dengan mendirikan khemah di belakang stor sayur dijadikan tempat berjudi sejak minggu lepas, dia juga dipercayai mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit sejak minggu lepas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rahimi berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas 52 keping daun pakau, jam digital, empat buah meja serta wang tunai hampir RM10,000, dan semua lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk direman dan dikenakan kompaun, kerana siasatan mendapati mereka turut melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang sedang dikuatkuasa ketika ini.

Beliau berkata kes itu disiasat menurut  Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, manakala tindakan kompaun diambil di bawah Peraturan 19(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No. 4) 2021.

-- BERNAMA

 

TAG: polis, judi, tahan, terjun dalam parit, PKPB


EIY FBP HIS


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan