AM

Ilustrator digital jadikan TikTok platform jana pendapatan

01/05/2021 01:37 PM

Oleh Siti Nur Farah Khairil Azmin

KUALA LUMPUR, 1 Mei  -- Masyarakat mungkin menganggap TikTok adalah aplikasi yang penuh dengan hiburan tetapi seorang wanita membuktikan sebaliknya apabila beliau menggunakan laman sosial media itu sebagai platform untuk membina kerjaya dan menjana pendapatan.

Norlisa Ramlee, 26, tidak menari dengan diiringi muzik seperti kebanyakan pengguna TikTok yang lain tetapi mengubah gayanya menggunakan berus dan pena stilus dengan mengembangkan bakatnya menjadi ilustrator digital sepenuh masa, sekali gus mampu meraih pendapatan dengan menjual karya seninya dan barangan ditempah khas seperti beg tote, pelekat dan rantai kunci.

“Seni bukan sekadar hobi buat saya jadi pada 2018 saya mendapat idea untuk berniaga sambilan semasa belajar dengan kemahiran yang saya ada ini.

“Memandangkan pandemik ini menjejaskan seluruh dunia, ia juga memberi kesan kepada saya. Selepas berbulan-bulan tidak mendapat kerja, saya membuat keputusan untuk menjadi ilustrator digital sepenuh masa bagi perniagaan kecil saya,” katanya kepada Bernama.

Graduan kejuruteraan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menjadi pengguna aktif TikTok sejak November tahun lepas, bukan hanya mempromosikan produknya dalam platform itu tetapi juga memuat naik video cara-cara melukis kepada pengikutnya.

 “Fokus utama saya ialah ilustrasi digital tetapi saya juga menawarkan lukisan kanvas kepada pelanggan.  Rekaan produk adalah berdasarkan permintaan pelanggan dan bayaran mengikut jenis dan saiz ilustrasi yang ditawarkan.

“Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terdapat beberapa pelanggan yang menempah untuk dijadikan hadiah kepada rakan atau keluarga yang tinggal berjauhan,” kata pemilik akaun TikTok ggatorart itu.

Norlisa berkata satu tempahan boleh mengambil masa lima ke enam jam untuk disiapkan bergantung kepada tahap kesukarannya dan beliau meraih pendapatan sekitar RM1,000 ke RM2,000 sebulan.

Beliau yang menyasarkan golongan belia sebagai bakal pembeli bukan hanya berjaya menarik minat pelanggan Malaysia tetapi turut menerima tempahan dari Singapura.

“TikTok adalah platform yang lebih mudah untuk difahami berbanding laman media sosial yang lain.

“Jika anda mengikuti trend terbaharu, video anda akan menjangkau lebih ramai penonton di seluruh dunia.

“Bagi individu yang suka hantaran mengenai seni sebagai contoh, video berkaitan seni akan ditunjukkan dalam “For You Page’ (FYP) dan TikTok akan menunjukkan lebih banyak video seni dalam laman pengguna,” katanya.

Mengenai perancangan masa hadapannya, beliau akan melancarkan produk baharu untuk sambutan Aidilfitri dan Merdeka serta bekerjasama dengan usahawan kecil yang lain dalam mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan