SHAH ALAM, 28 April -- Pelakon veteran Shamsudin Baslah meninggal dunia pada 5.30 petang semalam di Hospital Tanjung Karang.
Pengasas Pusat Jagaan Orang Tua Selangor Relief Agency Sharil Hussein berkata jenazah Allahyarham dirancang untuk dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh esok.
"Punca kematian Allahyarham masih belum diketahui dan pihak kami juga sedang menunggu keputusan ujian saringan COVID-19 dan jika negatif kami akan membawa pulang jenazah untuk dikebumikan di kampungnya esok," katanya sambil menambah jenazah ketika ini masih di unit forensik hospital tersebut.
Beliau berkata Shamsudin, 74, yang pernah berlakon dalam filem Bukit Kepong mengalami sesak nafas semalam dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan sebelum menghembuskan nafas terakhirnya di sana.
"Arwah tinggal di pusat ini sejak Mac tahun lepas dan beliau baru sahaja keluar dari hospital pada 24 April lepas selepas menerima rawatan kerana mengalami patah tulang peha kanan kerana terjatuh ketika sedang bersiar-siar di halaman pusat ini," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata sebelum itu Allahyarham meminta untuk makan keropok lekor namun permintaannya tidak sempat ditunaikan.
"Arwah juga ada meminta kepada saya untuk berjumpa dengan pengarah dan penerbit filem Datuk Yusuf Haslam, namun hasratnya tidak sempat saya tunaikan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial