SUKAN

Kim Swee Dilantik Pengarah Teknikal NFDP Yang Baharu

22/12/2025 04:11 PM

PETALING JAYA, 22 Dis (Bernama) -- Bekas pengendali Harimau Malaya Datuk Ong Kim Swee diumumkan sebagai Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) berkuat kuasa 1 Dis lepas.

Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata pengalaman luas yang dimiliki Kim Swee diyakini mampu memacu NFDP.

“Kami percaya sepenuhnya kepada Kim Swee dan pasukan teknikal untuk menilai setiap pegawai dan jurulatih berdasarkan kebijaksanaan dan keperluan program. 

“Apa yang penting, setiap keputusan mesti memacu program ini ke arah lebih baik. Fokus utama untuk memastikan setiap jurulatih dan pegawai mampu memberi impak positif serta menyumbang kepada keberkesanan program,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif FAM di sini hari ini.

Ditanya penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) buat Kim Swee, Mohd Yusoff berkata bekas jurulatih Sabah FC itu perlu menunjukkan pencapaian yang lebih baik berbanding pengarah teknikal NFDP sebelum ini.

“Program pembangunan biasanya memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua tahun kerana tidak boleh dicapai dalam masa singkat. KPI perlu ditetapkan lebih tinggi daripada sebelum ini dan dinilai setiap tahun.

"Kita tidak mahu lantik orang baru tetapi KPI tetap sama. Setiap individu perlu menunjukkan hasil yang lebih baik atau memberi kesan positif kepada program," katanya.

Jawatan Pengarah Teknikal NFDP sebelum ini disandang Oscar Francisco Gonzalez dari Australia yang juga diberi tanggungjawab selaku Pengarah Teknikal Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) berkuat kuasa 21 April 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan