SUBANG JAYA, 26 April -- Kerajaan menyasarkan untuk menarik penyertaan 50 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah program Peningkatan Industri Strategik dan PKS Berprestasi Tinggi (PRESTIGE): Aerospace Manufacturing Initiative (AMI) menjelang 2030.
Program ini dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui SME Corporation Malaysia (SME Corp).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sehingga kini, sebanyak 30 PKS telah mengikuti program tersebut sejak 2017, dan pada tahun ini dijangka 10 PKS lagi akan diambil bagi menyertai program ini.
“Program ini telah menghasilkan impak yang positif, dengan jumlah jualan kumulatif PKS yang terlibat sebanyak RM69.9 juta pada 2019 dengan purata pertumbuhan jualan pada kadar hampir 24 peratus,” katanya pada majlis perasmian bangunan baharu Kaizan Aero Manufacturing Sdn Bhd (KAMSB) di sini hari ini.
KAMSB merupakan antara PKS yang telah menyertai program tersebut dan telah berjaya memperoleh pensijilan sistem pengurusan kualiti (QMS) yang diperlukan dalam industri aeroangkasa seperti persijilan AS9100 dan NADCAP bagi memenuhi syarat untuk menjadi pengeluar komponen aeroangkasa global.
Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata program PRESTIGE AMI dilaksanakan melalui pendekatan holistik dalam meningkatkan kemampuan dan keupayaan PKS melalui adaptasi teknologi, sistem pengurusan kualiti dan peningkatan akses kepada pasaran.
“PKS yang terpilih di bawah program ini akan melalui aktiviti pembangunan kapasiti serta layak mendapat bantuan kewangan sehingga RM500,000 dalam bentuk geran padanan bagi aktiviti transformasi yang merangkumi standard dan pensijilan, adaptasi teknologi baharu dan strategi pemasaran untuk menembusi rantaian bekalan global aeroangkasa,” katanya.
Beliau berkata industri aeroangkasa di Malaysia merupakan satu daripada pemangkin utama ekonomi negara menuju ke arah negara berpendapatan tinggi.
Menjelang 2030, katanya Malaysia menyasarkan untuk menjadi hab bagi pengeluaran komponen aeroangkasa di Asia Tenggara dan seterusnya menjadi pembekal kepada syarikat-syarikat besar aeroangkasa.
“Penglibatan PKS dalam komponen rantaian bekalan global aeroangkasa sangat penting dengan lonjakan pelaburan oleh syarikat pembuatan aeroangkasa yang besar seperti Sprit Aerosystems, Senior Aerospace UPECA dan The Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) di Malaysia,” katanya.
Pada 2019 katanya, terdapat 84 pemain industri aeroangkasa di Malaysia yang mempunyai perolehan berjumlah RM14.4 bilion yang menyumbang sebanyak tujuh peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan memberi pekerjaan kepada 24,500 orang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial