ARAU, 23 April -- Jiran Wanita diibaratkan sebagai ‘tulang belakang’ kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan peranan mereka adalah besar dalam memastikan komuniti terus aktif dengan pelbagai program dan aktiviti yang disusun sepanjang tahun.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Perlis Zulkhairi Zainal berkata biro itu yang diwujudkan di bawah KRT, menyaksikan pembabitan besar kaum hawa sebagai penggerak kepada komuniti di mana-mana KRT kerana mereka ini aktif.
“Jiran Wanita adalah ‘tulang belakang’ dalam KRT, mereka bukan hanya cekap menyusun program sebaliknya terlibat sama dalam melakukan rondaan menerusi program Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang terdapat di setiap komuniti,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Katanya peranan Jiran Wanita adalah luas meliputi pelbagai aspek antaranya ialah membantu ibu tunggal di kawasan kejiranan, membuat rondaan keselamatan, menganjurkan aktiviti gotong-royong dan sebagainya.
Zulkhairi berkata apa yang menarik adalah 60 peratus daripada ahli KRT adalah terdiri daripada wanita yang terlibat secara langsung.
Katanya terdapat 138 KRT di negeri ini dan 135 daripadanya aktif melakukan pelbagai aktiviti dan program.
Sementara itu, Pengerusi Jiran Wanita Rancangan Perumahan Awam (RPA) Arau, Latifah Mustaffa berkata terdapat 30 ahli jiran wanita di RPA Arau dan untuk semua aktiviti yang diadakan mereka semua akan turun padang.
Latifah, 63, yang mesra dengan panggilan Kak Pah berkata beliau mula berkecimpung dalam Jiran Wanita selepas kematian suaminya enam tahun lalu.
“Walaupun banyak melelakukan aktiviti kemasyarakatan seperti kelas memasak, tadarus al-Quran dan sebagainya, kami di KRT Arau turut terlibat sama membantu melakukan aktiviti rondaan SRS bagi menjaga keselamatan taman perumahan,” katanya.
Katanya hubungan antara ahli KRT ibarat sebuah keluarga besar yang saling membantu antara satu sama lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial