BERITA COVID–19   PKPD di dua lokaliti Sarawak ditamatkan | 440 individu ditahan ingkar SOP PKP semalam- Ismail Sabri | Pasar Awam Bagan Ajam ditutup tiga hari | COVID: Kes baharu 4,855 hari ini, Selangor kekal catat kes tertinggi | COVID-19: CPRC Kelantan tidak galak pengasingan di rumah | 
AM

P.Pinang sasar tanam 200,000 pokok baharu menjelang 2023

22/04/2021 01:16 PM

BUKIT MERTAJAM, 22 April -- Kerajaan negeri Pulau Pinang menyasarkan untuk menanam sebanyak 200,000 pokok baharu di seluruh negeri menjelang 2023 sempena sambutan Hari Bumi hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata dari 2018 hingga kini, dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu telah menanam sebanyak 70,234 pokok baharu di seluruh negeri, sebagai tambahan kepada 310,290 pokok yang telah ditanam sejak 2008.

“Tema sambutan Hari Bumi pada 2021 adalah ‘Pulihkan Bumi Kita’. Walaupun dunia dilanda penularan wabak COVID-19 yang telah mengubah landskap dan corak kehidupan rakyat dunia amnya dan Pulau Pinang khasnya, masyarakat tidak seharusnya lupa tentang kepentingan untuk memelihara, memulihara dan mengekalkan alam semula jadi,” katanya ketika melancarkan Program Penanaman Anak Pokok sempena Sambutan Hari Bumi 2021 di Upcycle Park hari ini.

Jagdeep berkata untuk jangka masa panjang, Pulau Pinang telah meletakkan sasaran untuk 500,000 anak pokok baharu yang akan ditanam menjelang 2030.

Dalam pada itu, beliau berkata kadar kitar semula di negeri ini telah mencapai 45 peratus hasil daripada penguatkuasaan yang dijalankan PBT dalam usaha memulihara dan memelihara alam sekitar di samping menjalankan inisiatif hijau lain seperti menaik taraf dan menukar lampu jalan konvensional ke lampu jenis LED, projek Penang Smart Parking (PSP) dan inisiatif LinkBike.

“Lampu jenis LED ini berupaya untuk mengurangkan kos elektrik sehingga sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kos semasa. Berdasarkan rekod terkini, sebanyak 17,542 lampu jalan di kawasan MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) dan 2,075 lampu jalan di kawasan MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai) telah dinaik taraf ke lampu jalan jenis LED, membawa kepada keseluruhan 19,617 lampu LED dipasang setakat ini,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar MBSP Datuk Rozali Mohamud berkata sebagai sambutan Hari Bumi hari ini, pihaknya telah menanam 50 anak pokok ‘Tecoma Tabebuia’ di kawasan Tecoma Park, Upcycle Park supaya dapat mengindahkan kawasan dengan bunga Tecoma apabila menjelang musimnya selain daripada menghijaukan kawasan.

Beliau berkata MBSP dalam usaha untuk mewujudkan kelompok taman hutan dengan menggunakan sebahagian daripada kawasan lapang untuk dijadikan ‘bank pokok’.

“Taman hutan ini akan membekalkan baka anak pokok yang akan ditanam di seluruh kawasan Seberang Perai, sekali gus merupakan antara usaha penjimatan daripada terus membeli anak-anak pokok,” katanya.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan