BERITA TERGEMPAR   Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | 
 EKONOMI

Asia Perlu Perkukuh Kerjasama Industri Gentian Kimia Dan Tekstil - MITI

14/05/2026 04:53 PM

GEORGE TOWN, 14 Mei (Bernama) -- Negara-negara Asia dalam industri gentian kimia dan tekstil perlu memperkukuh kolaborasi strategik serta mempercepat peralihan kepada pengeluaran lebih mampan bagi memastikan industri itu terus berdaya saing di peringkat global.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata Asia kini menguasai kira-kira 54.1 peratus pasaran tekstil global dengan hampir 70 peratus pengeluaran tekstil dan pakaian dunia berlaku di rantau ini, sekali gus menjadikannya kuasa utama industri tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata persaingan sesama negara di Asia menyebabkan industri berdepan tekanan keuntungan, selain ketidakseimbangan antara lebihan pengeluaran produk standard dan kekurangan bahan khusus berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan teknikal serta standard alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Asia mempunyai banyak negara dan masing-masing bersaing antara satu sama lain sehingga menyebabkan industri ini sangat tidak menguntungkan, justeru penting untuk kita berkolaborasi.

“Sebentar tadi saya telah memberikan gambaran mengenai cara Eropah bekerjasama, contohnya dalam industri pesawat melalui Airbus.

“Jadi, kita juga perlu mencari penyelesaian melalui kerjasama industri berskala besar seperti model Airbus di Eropah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Persekutuan Industri Serat Kimia Asia (ACFIF) Kali Ke-15 2026 di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim.

Persidangan selama tiga hari bermula semalam itu menghimpunkan lebih 200 delegasi merangkumi pemimpin industri dari lapan negara iaitu China, Indonesia, India, Jepun, Korea, Pakistan, Taiwan dan Thailand.

Mengulas lanjut, Sim berkata industri gentian kimia dan tekstil juga perlu bergerak ke arah rantaian nilai lebih tinggi melalui pembangunan tekstil berfungsi, bahan mesra alam serta produk yang lebih berkualiti, selesa dan sesuai dengan perubahan iklim.

Katanya, usaha itu memerlukan penekanan terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kerjasama lebih erat antara industri serta universiti bagi menghasilkan bahan yang memenuhi keperluan pasaran dan standard ESG.

Beliau berkata pematuhan ESG kini menjadi keperluan penting khususnya bagi menembusi pasaran negara maju termasuk Eropah yang menetapkan syarat ketat terhadap rantaian bekalan dan bahan pembuatan.

Selain itu, Sim berkata cabaran geopolitik global ketika ini turut memberi kesan kepada rantaian bekalan antarabangsa termasuk peningkatan kos penghantaran, insurans dan ketidaktentuan logistik.

Beliau berkata Malaysia bersedia memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam membina rantaian bekalan serantau yang lebih berdaya tahan menerusi kekuatan negara dari segi kestabilan politik, perdagangan dan asas pembuatan.

Beliau berkata kerjasama itu merangkumi bukan sahaja pengeluaran, tetapi juga logistik, pergudangan, pematuhan piawaian serta sistem kebolehkesanan digital bagi menghadapi gangguan rantaian bekalan global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan