BERITA COVID–19   LHDN tutup pejabat cawangan Terengganu, Pahang untuk sanitasi | Pematuhan SOP rendah punca kes positif COVID-19 di Kampung Keramat | 674,862 individu terima dua dos vaksin setakat semalam - Dr Adham | Katil klinikal di PKRC Gelanggang Seni ditambah | Pejabat SPRM Sabah tutup sementara untuk kerja sanitasi | 
SUKAN

Perak FC ikat Kedah 1-1, Sabah belasah UiTM FC

18/04/2021 01:03 AM

KUALA LUMPUR, 17 April -- Perak FC mempamerkan satu lagi aksi hebat apabila berjaya mengikat Kedah Darul Aman (KDA) FC 1-1 di Stadium Perak Ipoh, malam ini, sekali gus menafikan peluang skuad Lang Merah untuk melonjak ke tangga kedua Liga Super 2021.

Skuad tuan rumah membuka jaringan menerusi penyerang naturalisasi Guilherme de Paula yang menanduk masuk hantaran silang Raianderson pada minit ke-58.

Kpah Sherman muncul penyelamat skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak apabila menyempurnakan hantaran silang Kipre Tchetche pada minit ke-78 untuk membawa pulang satu mata berharga.

Keputusan malam ini menyaksikan KDA FC kekal di tangga ketiga dengan 17 mata di bawah pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengutip 23 mata manakala Terengganu FC (TFC) di tempat kedua dengan 18 mata.

Sabah FC mencatat kemenangan kedua dalam sembilan perlawanan setakat ini, apabila membelasah pasukan tercorot carta, UiTM FC 4-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Pasukan tuan rumah membuka jaringan menerusi penyerang import dari Liberia Sam Johnson pada minit ke-27 sebelum pemain dari Indonesia Saddil Ramdani menggandakan jaringan pada minit ke-40.

Bersambung babak kedua, skuad Sang Badak meneruskan buruan gol menerusi pemain import Korea Selatan Park Tae-soo pada minit ke-49 dan Bobby Gonzales pada minit ke-87.

Sementara itu, dalam saingan Liga Premier pula, TFC II bangkit mengejutkan JDT II 4-3 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, Kuala Terengganu, sekali gus menamatkan badi seri dalam enam aksi sebelum ini.

Penyerang import dari Ghana Jordan Mintah muncul wira pasukan apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-40 dan gol kemenangan pada minit ke-90, selain jaringan Argzim Redzovic (51’) dan Masaki Watanabe (82’) untuk kemenangan pertama skuad Penyu sejak menewaskan skuad Projek FAM-MSN 4-0 dalam aksi pertama 6 Mac lepas.

Skuad Harimau Selatan pula memperoleh jaringan menerusi Nicolas Alberto Fernandez pada minit ke-22 dan Fernando Rodriguez Ortega pada minit ke-45 dan 68.

Skuad Projek FAM-MSN terus bergelut apabila menjadi ‘lauk’ kepada Kelantan United selepas ditewaskan 3-0 di laman sendiri di Stadium UiTM, Shah Alam.

Tiga jaringan itu disempurnakan oleh Muhammad Asraff Aliffuddin Yasin pada minit ke-42, Mohamad Hariz Kamarudin (86’) dan Alfusainey Gassama (89’).

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan