SUKAN

KDA FC KEKAL DAPAT LAMPU HIJAU BERSAING DALAM LIGA SUPER 2024/2025

22/04/2024 12:25 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Kedah Darul Aman FC (KDA FC) boleh menarik nafas lega apabila kekal mendapat Lesen Kebangsaan untuk beraksi dalam saingan Liga Super 2024/2025 yang dijadual bermula bulan depan.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi badan bebas First Instance Body (FIB) menerusi kenyataan hari ini mengesahkan KDA FC telah menyelesaikan bayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi tahun 2023 sebelum tarikh akhir 20 April lepas.

Pengerusi FIB Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata berdasarkan surat bertarikh 18 April lepas serta dokumen pembayaran yang telah diserahkan kepada MFL dan disemak FIB, KDA FC telah melunaskan kesemua tunggakan gaji pemain dan pegawai skuad Liga Super.

Beliau berkata KDA FC juga telah menyelesaikan kesemua tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan peringkat bawah umur iaitu skuad Bawah 23 Tahun, Bawah 20 Tahun dan Bawah 18 Tahun.

“Bagaimanapun, terdapat dua pemain iaitu Lee Tuck dan Jonathan Boareto dos Reis yang masih belum mendapat bayaran berikutan kes masih dalam perbicaraan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Majlis Penyelesaian Resolusi Kebangsaan (NDRC).

“Namun kesemua bayaran tunggakan seperti yang diarahkan oleh FIB telah berjaya diselesaikan oleh KDA FC bagi membolehkan KDA FC kekal mendapat Lesen Kebangsaan untuk beraksi dalam Liga Super bagi musim 2024/2025,” katanya.

Beliau berkata pada masa sama FIB mengekalkan hukuman pemotongan tiga mata terhadap Sang Kenari dalam saingan Liga Super 2024/2025 dan denda RM50,000 atas kegagalan membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji bagi 2023 pada tarikh akhir terdahulu iaitu 30 Mac lepas.

Sebelum ini, FIB memberi lanjutan masa buat KDA FC menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga 20 April lepas.

Khamis lepas, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Shahrul Samsudin berkata kelab itu berjaya menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji bagi 2023 sekali gus membolehkan pasukan itu kekal bersaing dalam Liga Super.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan