AM

Perkeso buat bayaran faedah lebih RM19 bilion sejak lima tahun lepas

11/04/2021 04:57 PM

ALOR SETAR, 11 April -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah membuat pembayaran faedah lebih RM19 bilion kepada pencarum dan ahli keluarga yang layak sejak lima tahun lepas.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata pembayaran itu juga menyaksikan peningkatan setiap tahun bermula 2016 sebanyak RM3.3 bilion, diikuti RM3.6 bilion (2017), RM3.8 bilion (2018), RM4.2 bilion (2019) dan RM4.25 bilion pada tahun lepas.

“Kita melihat jumlah pembayaran kian meningkat setiap tahun, ini membuktikan Perkeso telah memainkan peranan penting dalam membela kebajikan pekerja dan para pencarum di negara ini.

“Jumlah semakin besar, namun pembayaran tetap dilakukan bagi memastikan kebajikan pencarum dan ahli keluarga mereka terbela terutama ketika negara berhadapan penularan COVID-19 ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Prihatin 50 Tahun Perkeso peringkat negeri di sini hari ini.

Menurutnya, peningkatan pembayaran itu juga didorong oleh penularan pandemik COVID-19 yang banyak memberi kesan kepada sektor pekerjaan.

Awang berkata, bagi tahun ini pihaknya menjangkakan jumlah pembayaran faedah kepada pencarum Perkeso terus meningkat berikutan penularan pandemik COVID-19 yang belum menunjukkan tanda akan berakhir.

“Namun kita telah bersedia berdepan cabaran yang mendatang, Insya Allah pembayaran tetap akan diteruskan kepada mereka yang layak untuk berdepan ujian dan dugaan ini agar kesannya (COVID-19 kepada pencarum) tidak begitu ketara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan