JENAYAH & MAHKAMAH

30 Rumah Musnah Dalam Kebakaran Di Sandakan - Bomba

29/04/2026 09:26 AM

SANDAKAN, 29 April (Bernama) -- Kira-kira 30 rumah musnah dalam kebakaran di Jalan Bokara, Kampung Karamunting, di sini awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Jimmy Lagung berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran di kampung itu pada 3.16 pagi sebelum 21 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.

"Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan tiga aliran air termasuk sumber daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jimmy berkata kebakaran itu dianggarkan membabitkan kawasan seluas 1.4 hektar dan api berjaya dikawal pada 4.29 pagi, sekali gus menyelamatkan 100 rumah lain di kampung berkenaan.

Beliau berkata operasi ditamatkan sepenuhnya pada 7.01 pagi setelah memastikan tiada bahaya lain wujud di lokasi kejadian.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Insiden itu merupakan yang kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan di Sandakan, selepas tragedi kebakaran rumah air di Kampung Bahagia di sini pada 19 April lepas yang menyebabkan 1,000 rumah musnah dan lebih 9,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan