EKONOMI

Industri takaful kekal berdaya tahan pada 2020 walaupun berlaku pandemik - MTA

08/04/2021 10:06 PM

KUALA LUMPUR, 8 April -- Sumbangan perniagaan baharu untuk semua sijil takaful keluarga naik tujuh peratus kepada RM6.59 bilion pada 2020 daripada RM6.16 bilion pada tahun sebelumnya walaupun menghadapi cabaran berikutan pandemik COVID-19, menurut Persatuan Takaful Malaysia (MTA).

Dalam kenyataan hari ini, persatuan itu berkata nilai perlindungan takaful baharu meningkat sebanyak 21.4 peratus kepada RM461.7 bilion daripada RM380.2 bilion sebelum ini.

“Sumbangan kasar tunggal perniagaan baharu takaful keluarga mencatatkan RM5.09 bilion pada 2020, naik 4.9 peratus, daripada RM4.85 bilion pada 2019.

“Sumbangan kasar tahunan perniagaan baharu takaful keluarga meningkat 14.8 peratus kepada RM1.50 bilion pada 2020 berbanding RM1.31 bilion pada 2019,” menurut MTA.

Secara keseluruhannya, katanya industri takaful menambah 839,358 sijil baharu pada 2020, mencatatkan pertumbuhan yang ketara sebanyak 14.4 peratus.

Pengerusi baharu MTA Elmie Aman Najas berkata kadar penembusan industri takaful keluarga, ukuran jumlah sijil yang dikuatkuasakan kepada jumlah penduduk Malaysia, meningkat kepada 16.9 peratus pada 2020 daripada 15.9 peratus pada 2019.

Nilai perlindungan takaful industri mencecah RM1.1 trilion, naik 14.5 peratus daripada 2019.

MTA berkata sumbangan bertulis kasar perniagaan takaful am meningkat 4.4 peratus tahun ke tahun kepada RM3.46 bilion, dengan portfolio takaful motor kekal di kedudukan teratas dengan bahagian campuran portfolio sebanyak 66.1 peratus.

“Pertumbuhan yang baik ini berikutan keputusan positif daripada pembukaan semula ekonomi di bawah usaha pemulihan pandemik kerajaan, terutamanya pada suku ketiga dan keempat 2020,” katanya.

Sementara itu, Elmie, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif AIA PUBLIC Takaful Bhd, telah dipilih untuk jawatan pengerusi MTA 2021- 2023.

Beliau menggantikan Muhammad Fikri Mohamad Rawi yang telah berkhidmat selama empat tahun sebagai pengerusi persatuan.

-- BERNAMA

 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan