BERITA COVID–19   SIC diarah tangguh semua kejohanan drag | Kluster Jalan Canning Estate: Bazar Ramadan Stadium Perak dikawal ketat | COVID: 607 kes positif baharu, angka tertinggi direkod di Sarawak | Empat lokaliti di tiga daerah di Sabah, empat kampung di Pahang dikenakan PKPD esok | WHO terbit garis panduan sempena perayaan keagamaan | 
JENAYAH & MAHKAMAH

Mayat Ami Azzizol yang lemas di Tasik Kenyir ditemukan pagi Selasa

30/03/2021 09:29 AM

KUALA BERANG, 30 Mac -- Mayat seorang mangsa lemas yang berenang di Sungai Petuang, Tasik Kenyir, di sini, Sabtu lepas, ditemukan terapung di tengah tasik pada pukul 7.10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Daud berkata mayat Ami Azzizol Abu Bakri, 22, ditemukan seorang pengusaha chalet rumah rakit pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dikatakan lemas.

"Pengusaha chalet rumah rakit tersebut bertindak memaklumkan penemuan mangsa kepada pasukan Polis Marin Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang meronda di kawasan berhampiran sebelum mayat mangsa dikeluarkan (dari tasik) oleh pihak bomba," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Adli berkata mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian pada pukul 5.50 petang Sabtu lepas, mangsa yang baru seminggu melangsungkan perkahwinan, dikatakan telah mengalami kekejangan otot ketika berenang di Sungai Petuang, Jeram Harimau.

Kejadian itu turut disaksikan isteri, sepupu dan anak pemilik rumah rakit yang disewa mereka sekeluarga.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan