SIBU, 16 Mac -- Pembukaan makmal ujian Real Time Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) oleh Pusat Perubatan Rejang (RMC) di sini akan dapat membantu mempercepatkan lagi pemprosesan sampel calitan COVID-19 di Bahagian Sibu .
Makmal yang dilengkapi mesin PCR terkini di pasaran bernilai RM300,000 itu berupaya melakukan 1,000 ujian sehari, sekali gus membantu usaha memerangi COVID-19, yang masih mencatatkan jumlah kes agak tinggi di Sibu.
Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dr Annuar Rapaee berkata setiap calitan hanya akan mengambil masa selama dua jam untuk diproses.
“Dengan adanya bantuan daripada hospital swasta, lebih daripada 1,000 sampel dapat diuji dalam masa sehari di Sibu lantas membantu mengekang penularan virus tersebut dengan cepat, katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pembukaan makmal tersebut hari ini.
Beliau yang juga penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu dan Anggota Dewan Undangan Negeri Nangka berkata sehingga kini 80,000 ujian PCR telah dijalankan di Sibu.
Sementara itu, Pengarah Urusan RMC Dr John Tang berkata pihaknya mengambil keputusan untuk mewujudkan makmal itu apabila ramai yang panik dengan peningkatan secara mendadak kes COVID-19 sebulan yang lalu.
“Memang banyak kekangan yang kami hadapi terutamanya dari segi kewangan dan juga latihan untuk kakitangan kami bagi melakukan ujian itu. Namun kami rasakan ini adalah satu tanggungjawab yang perlu kami lakukan dan pulangan bagi pelaburan ini adalah satu isu lain bagi kami,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial