AM

Isu buku teks sejarah: Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara akan panggil beberapa pihak

11/03/2021 12:09 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac -- Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara akan memanggil beberapa pihak bagi memberi penjelasan berhubung isu kandungan buku teks sejarah Tingkatan 4 yang didakwa terdapat fakta yang dimanipulasikan.

Pengerusinya Senator Datuk Razali Idris berkata antara yang akan dipanggil ialah Kementerian Pendidikan, dua bekas Menteri Pendidikan dan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang membangkitkan isu berkenaan sebelum ini serta beberapa pakar dalam bidang sejarah Malaysia.

Katanya perkara itu diputuskan dalam mesyuarat secara maya bersama anggota jawatankuasa kaukus minggu lepas dan surat rasmi akan dikeluarkan kepada Kementerian Pendidikan terlebih dahulu untuk hadir pada sesi pendengaran mesyuarat kaukus dalam tempoh terdekat ini.

“Hal sedemikian sangat serius kerana polemik ini pastinya memberi kesan dan membabitkan golongan pelajar, guru, pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta sistem pendidikan negara secara keseluruhannya.

“Soal yang membabitkan pendidikan termasuk fakta sejarah perlu dilihat secara ilmiah dan intelektual, fakta yang benar dan tepat, tetapi bukanlah terarah dari sudut mainan politik semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara lain, buku teks yang diperakui sah oleh Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM pada 24 April 2018 itu didakwa mengandungi unsur-unsur mengagungkan komunis dalam perjuangan negara mencapai kemerdekaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan