AM

Wakaf Media Dilaksana Tiga Fasa, Perkukuh Media Islam Dan Dakwah - Zulkifli

14/01/2026 08:54 PM

PUTRAJAYA, 14 Jan (Bernama) -- Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama TV AlHijrah hari ini melancarkan inisiatif Tabung Dana Wakaf Media atau Wakaf Media yang akan dilaksanakan menerusi tiga fasa bagi memperkukuh agenda media Islam dan dakwah di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata fasa pertama pelaksanaan Wakaf Media memberi tumpuan kepada pendanaan kandungan berteraskan ilmu, khususnya program Al-Quran 104 dan Hadis Sunnah 104, sebagai usaha memberikan pencerahan kepada masyarakat.

Beliau berkata fasa kedua melibatkan pembangunan serta penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan sokongan, manakala fasa ketiga memberi fokus kepada pembinaan bangunan dan aset berkaitan bagi menjamin kelestarian operasi media Islam dalam jangka panjang.

“Jadi ini yang kita ingin lakukan, iaitu bagaimana agensi hal ehwal agama akan berkolaborasi sebagai satu pasukan untuk mengaturkan dan merencanakan agenda hal ehwal agama. Dalam konteks ini, ia adalah agenda dakwah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Wakaf Media di sini hari ini.

Zulkifli berkata Wakaf Media turut menjadi model kepada industri media Islam dalam usaha mencari sumber pendanaan alternatif selain bergantung sepenuhnya kepada kaedah tradisional dan sedia ada.

Dalam pada itu, beliau berkata budaya wakaf menerusi potongan gaji telah dimulakan dalam kalangan warga jabatan di bawah seliaannya.

“Cuma ia belum diuar-uarkan secara meluas kerana pergerakan ini telah bermula lebih awal,” katanya.

Zulkifli berkata objektif Wakaf Media turut bertujuan mengajak penjawat awam dan orang ramai untuk berwakaf kerana amalan itu akan kekal sebagai pelaburan akhirat, namun penyertaan syarikat berkaitan kerajaan serta sektor swasta turut dialu-alukan.

“Kita mahu membina keyakinan masyarakat bahawa pengurusan wakaf ini telus dan mereka boleh melihat sendiri hasil daripada sumbangan wakaf yang diberikan,” katanya.

Beliau berharap pelaksanaan Wakaf Media dapat menyemai minda wakaf dalam kalangan rakyat sebagai sebahagian daripada pembinaan masyarakat MADANI di Malaysia.

“Semoga inisiatif Wakaf Media ini akan terus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju wakaf kontemporari dunia Islam. Inilah cita-cita kita. Bukan sahaja membangunkan ekonomi negara tetapi membangunkan jiwa rakyatnya,” katanya.

Zulkifli berkata inisiatif berkenaan perlu mendapat sokongan pelbagai pihak kerana ia merupakan jambatan dakwah serta lautan ilmu yang akan terus memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan