BERITA COVID–19   Individu ingkar SOP COVID-19 berdepan denda RM10,000 mulai 11 Mac 2021 | MOTAC adakan perbincangan lanjut berkaitan cadangan perluas gelembung perjalanan | MYEG lancarkan ujian COVID-19 menggunakan air liur mulai 1 Mac | COVID-19: Dua kematian di Sarawak, 219 kes baharu | Kumpulan pertama vaksin Pfizer tiba di Sibu | 
AM

IJN perkenal prosedur baharu rawat pesakit aterosklerosis akut

22/02/2021 11:09 PM

KUALA LUMPUR, 22 Feb -- Institut Jantung Negara (IJN) hari ini mendedahkan bahawa prosedur Litotripsi Intravaskular (IVL) yang telah diluluskan oleh FDA (Food and Drug Admininstration) sebagai kaedah baharu dan lebih selamat bagi merawat pesakit yang mengalami aterosklerosis yang akut.

IJN dalam satu kenyataan hari ini menyatakan prosedur yang mengunakan gelombang sonik untuk memecahkan plak terklasifikasi yang keras terkumpul dalam arteri, telah telah berjaya dilakukan doktor IJN hari ini, iaitu prosedur IVL yang pertama di Malaysia.

IJN menjelaskan bahawa aterosklerosis adalah keadaan di mana kolesterol, lemak dan lebihan kalsium membentuk plak di dalam arteri, yang mana pengumpulan plak menyebabkan arteri menjadi sempit dan mengehadkan aliran darah.

Jika dikesan awal, aterosklerosis boleh dirawat menerusi perubahan gaya hidup, pengambilan ubat untuk mengurangkan atau malah menghilangkan pembinaan plak, namun sumbatan yang lebih serius biasanya dirawat menggunakan angioplasti dan peletakan sten yang melibatkan penggunaan belon yang kecil diletakkan kepada kateter yang diletakkan ke tempat tersumbat itu melalui saluran darah.

Belon itu kemudiannya dikembangkan bagi membesarkan arteri dan menolaknya dan pada masa sama sten akan diletakkan bagi membolehkan arteri terus terbuka untuk pergerakan darah yang lancar.

Bagaimanapun menurut Konsultan Kanan Kardiologi IJN Datuk Dr Amin Ariff Nuruddin, angioplasti mungkin tidak sesuai dalam beberapa kes akut, di mana plag telah mengeras dan menjadi terkalsifikasi.

“Apabila plak telah mengeras kepada satu tahap, pesakit mungkin perlu menjalani prosedur pembedahan invasif bagi merawatnya, di mana doktor melalui pembedahan perlu membuang plak atau pada kes tertentu melakukan graf pintas bagi memastikan aliran darah yang baik. Dalam keadaan ini, IVL menawarkan kita satu pilihan rawatan invasif yang minima, yang mengurangkan risiko pembedahan untuk pesakit terbabit.

“Sama seperti angioplasti, IVL menggunakan kateter yang diletakkan belon, tetapi perbezaannya belon itu membina gelombang tekanan sonik untuk memecahkan plak dan tidak hanya menolaknya yang mana mungkin tidak berlaku dalam keadaan plak terkalsifikasi yang keras.

“Ini akan memboleh pengembangan saluran darah dan mengoptimakan penggunaan sten di kawasan saluran yang tersumbat,” kata Dr Amin dalam kenyataan tersebut.

Beliau berkata, selain mengurangkan penggunaan alat tersebut, ia juga mengurangkan trauma kepada tisu kerana ia menyasarkan tempat tersebut itu secara terus.

“Ini meminimumkan risiko terhadap pesakit berhadapan komplikasi lain akibat prosedur itu berbanding kepada peralatan lain yang sedia ada pada masa ini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan