AM

Mayat pelajar UMP ditemukan selepas tiga hari hanyut

06/01/2021 04:18 PM

KUANTAN, 6 Jan -- Mayat pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) ditemukan selepas tiga hari hanyut di Sungai Puas Kampung Gintong, Jerantut, kira-kira 100 kilometer dari sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Mazlan Hassan berkata mangsa, Ukai Iskandar Zulkarnain yang hanyut bersama bapanya Zulkarnain Hitam, 58, ditemukan kira-kira lima meter dari lokasi kejadian oleh orang awam sekitar 9 pagi tadi.

“Pengecaman mayat sudah dilakukan oleh ahli keluarga mangsa dan jasad Ukai Iskandar kemudian  dibawa ke Hospital Jerantut untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, Mazlan berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan pada tengah hari tadi.

Ahad lepas, Ukai Iskandar, 23, dan bapanya Zulkarnain Hitam dihanyutkan arus deras ketika berjalan bersama dua adiknya untuk pulang ke rumah di Kampung Gintong kira-kira 10.30 malam selepas memindahkan kereta ke kawasan tinggi. 

Zulkarnain yang juga kakitangan Pejabat Hutan Daerah Jerantut ditemukan lemas pada hari kejadian manakala dua anaknya berusia 13 dan 15 tahun berjaya diselamatkan orang awam.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan