AM

Projek RTB Sungai Pemandi Dijangka Siap 2026, Manfaat 2,000 Penduduk Kota Tinggi

09/07/2025 11:09 AM

JOHOR BAHRU,  9 Julai (Bernama) -- Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pemandi di Kota Tinggi yang dijangka siap pada 26 April tahun depan, bakal memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 penduduk di Taman Aman dan Taman Mawai.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata setakat ini, kemajuan kerja projek sepanjang 2.7 kilometer di Sungai Pemandi itu telah mencapai 58 peratus.

“Projek ini merupakan satu daripada 11 projek berimpak tinggi yang dipantau di peringkat jawatankuasa khas yang dipengerusikan bersama antara saya dan Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Mad Zaidi Mohd Karli.

“Ia melibatkan pengambilan 17 lot tanah dan ini menjadi antara cabaran utama dalam setiap projek RTB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata projek bernilai RM42 juta yang bermula pada Julai 2023 itu merangkumi kerja pembinaan tembok banjir (flood wall), alas pasir (sandfill mattress), gabion, penggantian jambatan serta pemasangan sistem pam.

Menurutnya, pelaksanaan RTB di Johor merupakan antara usaha kerajaan untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan yang sering terjejas, melalui beberapa inisiatif penting bagi mengawal dan mengurus bencana itu.

Ketika ini terdapat 10 projek utama RTB di Johor yang merangkumi beberapa daerah seperti Segamat, Tangkak, Batu Pahat dan Kota Tinggi termasuk RTB Batu Pahat (RM1.18 bilion) serta RTB Sungai Johor (RM2.24 bilion).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan