KUALA LUMPUR, 24 Dis -- Dua gerabak monorel terbakar di Stesen Monorel Jalan Maharajalela menghala ke KL Sentral hari ini menyebabkan perkhidmatan tren itu tergendala.
Tiada kecederaan dilapor dalam kejadian pukul 7.15 pagi itu.
Komander Operasi Kanan Penolong Penguasa Bomba Mohamad Iqbal Zakaria berkata Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada 7.27 pagi dan menggerakkan lima jentera bersama 21 anggota ke lokasi.
"Kebakaran dapat dipadam sepenuhnya pada 8.56 pagi. Kesemua penumpang dikeluarkan dari gerabak oleh petugas Stesen Monorel Jalan Maharajalela sebelum bomba sampai,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata pemandu gerabak berkenaan dikatakan mendengar bunyi letupan ketika pengangkutan awam itu sedang bergerak menuju ke Stesen Monorel Jalan Maharajalela.
“Kerana tidak mahu mengambil risiko, pemandu itu menghentikan gerabak di stesen itu bagi menurunkan sembilan penumpang walaupun pada masa itu monorel berkenaan belum terbakar. Ketika pasukan bomba tiba, api sudah marak,” katanya dan menambah punca kebakaran masih dalam siasatan.
Sementara itu, Prasarana Malaysia Berhad menerusi kenyataan menjelaskan satu daripada 64 tayar yang digunakan oleh tren empat gerabak itu meletup dan terbakar, dipercayai kerana tekanan angin tayar yang rendah.
Menurut kenyataan itu, kesemua penumpang selamat diturunkan di Stesen Maharajalela sebelum tren itu terbakar.
Berikutan kebakaran itu, perkhidmatan tren ulang-alik diaktifkan pada 7.38 pagi untuk perkhidmatan antara Stesen Titiwangsa dengan Stesen Hang Tuah.
“Pada masa sama, perkhidmatan van perantara percuma turut disediakan untuk membawa penumpang antara Stesen Monorel KL Sentral, Tun Sambanthan dan Maharajalela.
“Tren itu ditunda keluar dari Stesen Maharajalela pada 10.59 pagi ke depoh untuk siasatan lanjut. Penumpang yang terjejas ditawarkan kupon bayaran balik yang boleh dituntut di semua kaunter Monorel. Rapid KL kesal dan memohon maaf atas insiden berkenaan dan kesulitan yang berlaku,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial