TAWAU, 11 Dis -- Masjid Al-Kauthar di sini bersedia menerima 5,000 jemaah sesuai dengan kapasiti yang dibenarkan untuk solat Jumaat, akan datang.
Pengerusi Masjid Al Kauthar, Khalid Mohd Tahir berkata pengurusan masjid tidak mempunyai masalah pada minggu hadapan walaupun dengan kehadiran jemaah maksimum seperti ditetapkan.
"Jawatankuasa masjid memandang serius ketetapan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi semua pihak.
Kita juga akur dengan ketetapan SOP jarak dua meter setiap jemaah dilakukan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tinjauan Bernama hari ini mendapati orang ramai mulai memasuki perkarangan masjid pada 10 pagi dan mendaftar masuk melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual, selain memeriksa suhu badan.
Menurutnya Masjid Al-Kauthar mampu menampung sehingga 17,000 jemaah pada satu-satu masa.
Selasa lepas Sabah membenarkan semula masjid dan surau di seluruh negeri ini termasuk dalam zon merah mengadakan semua jenis aktiviti keagamaan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Bagi solat lima waktu secara berjemaah, bilangan jemaah dibenarkan di masjid dan surau bagi seluruh zon di Sabah ialah satu pertiga kapasiti dewan solat utama masjid dan surau sementara untuk solat Jumaat jumlah jemaah yang dibenarkan adalah mengikut keluasan dewan solat utama masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial