AM

Pusat Penyelidikan ASEAN Singapura-Institut Yusof Ishak dianugerah hadiah ASEAN

12/11/2020 03:52 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov -- Pusat Pengajian ASEAN (ASC) dari Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS) yang berpusat di Singapura - Institut Yusof Ishak dianugerahkan Hadiah ASEAN kerana mempromosi pemahaman dan kesedaran yang lebih baik terhadap 10 anggota blok dan menyumbang ke arah kerjasama dan integrasi serantau.

Penerima Hadiah ASEAN 2020 diumumkan secara rasmi pada upacara pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 di Hanoi hari ini.

Semasa ucaptama, Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc mengucapkan tahniah kepada ISEAS-Institut Yusuf Ishak di atas penerimaan anugerah utama wilayah itu.

Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi dalam ucapan tahniah kepada  ISEAS-Institut Yusuf Ishak menekankan bahawa "wawasan dan analisis ASC mengenai perkembangan dan tren di rantau ini melalui penyelidikan, penerbitan, penglibatan media dan aktiviti jangkauan.

"Ini telah membantu para pembuat dasar, cendekiawan dan pemimpin perniagaan dalam usaha mereka membangun dan memajukan Komuniti ASEAN," katanya dalam satu kenyataan di laman web rasmi ASEAN.

Pengarah ISEAS-Institut Yusuf Ishak, Choi Shing Kwok, yang juga Ketua ASC, melahirkan penghargaannya semasa menerima anugerah tersebut.

 "Anugerah ini adalah pengiktirafan ke atas usaha kolektif seluruh pasukan ASC, dahulu dan kini. Saya yakin ini akan lebih memberi inspirasi kepada ASC untuk terus membangunkan usaha dan misi kami dalam mempromosi penyelidikan dan pemahaman mengenai ASEAN daripada perspektif serantau, ”katanya.

Hadiah ASEAN, yang ditadbir oleh Sekretariat ASEAN, ditaja oleh Yayasan Temasek Singapura dan Yayasan Hasanah dari Malaysia. Penerima akan menerima piala dan hadiah wang tunai US$20,000. Upacara penganugerahan tahun ini akan diadakan secara berasingan mengikut protokol keselamatan COVID-19.

Kini pada tahun ketiga, Hadiah ASEAN memberi penghormatan kepada pencapaian cemerlang individu atau organisasi yang memupuk identiti ASEAN, mempromosi semangat ASEAN, memperjuang cara ASEAN dan telah memberi sumbangan yang besar terhadap usaha membangun komuniti ASEAN.

ASC adalah organisasi pertama yang berpusat di ASEAN yang menerima Hadiah tersebut. Pada 2018, Erlinda Uy Koe, pemimpin masyarakat yang berdedikasi dan penyokong keluarga dengan autisme dari Filipina, menerima anugerah perdana itu atas sumbangannya dalam memupuk komuniti ASEAN yang inklusif.

Pada 2019, pemimpin misi kemanusiaan Malaysia Dr Jemilah Mahmood dipilih sebagai penerima Hadiah ASEAN kerana dedikasinya dalam menyediakan keperluan kecemasan dan tindak balas kemanusiaan kepada penduduk yang terjejas di rantau ini.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 bermula pada Khamis di tengah-tengah pandemik COVID-19 dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai delegasi Malaysia pada sidang kemuncak dwitahunan itu dari Kuala Lumpur.

Ia dipengerusikan oleh Xuan Phuc dalam kapasitinya sebagai Pengerusi ASEAN 2020 di bawah tema "ASEAN yang Teguh dan Responsif."

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan