GEORGE TOWN, 10 Feb (Bernama) -- Tiada penutupan lorong utama jalan raya di tapak kerja pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, di sini sepanjang musim perayaan bagi mengurangkan kesesakan trafik.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata pemilik projek MRT Corporation (MRTC) dan kontraktor utama SRS Consortium memberi jaminan untuk meminimumkan gangguan kepada pengguna jalan raya termasuk ketika sambutan Tahun Baharu Cina.
“Kerja pembinaan hanya dilaksanakan pada malam dan tidak melibatkan waktu puncak manakala pada perayaan utama, kerja pembinaan lazimnya dihentikan sementara satu hingga dua hari bergantung kepada perancangan kontraktor,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Penang Nature-Based Climate Adaption Award di sini hari ini.
Mengulas pelan pengurusan trafik (TMP) projek itu, Zairil berkata pelaksanaan pelan sentiasa dipantau dan dikemas kini setiap bulan mengikut keperluan fasa pembinaan di tapak.
TMP itu menurut beliau disediakan oleh MRTC sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan teknikal berkaitan untuk diperhalusi dengan perubahan dibuat secara dinamik selaras skop kerja semasa.
Projek LRT Laluan Mutiara melibatkan pembinaan laluan sepanjang 29.5 kilometer dengan 21 stesen strategik, yang direka untuk meningkatkan keterhubungan antara Pulau Pinang dan tanah besar, sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya serta menambah baik tahap ketercapaian pengangkutan awam.
Dalam perkembangan lain, Zairil menafikan dakwaan tanah taman awam di Seri Tanjung Pinang, Tanjong Tokong diletakkan di bawah pengurusan sebuah sekolah antarabangsa sehingga menjejaskan akses orang awam.
Beliau menjelaskan kawasan terlibat hanya sebuah padang bola sepak sedia ada seluas 1,568 meter persegi yang sebelum ini diselenggara secara asas oleh PBT termasuk pemotongan rumput dan pembaikan kemudahan secara berkala.
Zairil berkata pihak sekolah itu memohon secara rasmi untuk membina gelanggang bola sepak berpagar dengan fasiliti lengkap bernilai RM450,000 yang ditanggung sepenuhnya oleh mereka, dengan penggunaan dikongsi bersama-sama orang awam.
“Pihak sekolah hanya akan menggunakan padang itu pada waktu sekolah, Isnin hingga Jumaat dari 8.30 pagi hingga 5 petang manakala orang ramai boleh menggunakannya dari 5 petang hingga 10 malam pada hari tersebut dan sepanjang hari pada hujung minggu serta cuti umum,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial