AM

Hubungan dua hala Malaysia-Singapura tidak terjejas susulan ketiadaan Pesuruhjaya Tinggi - Hishammuddin

10/11/2020 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 10 Nov  -- Hubungan dua hala Malaysia-Singapura berjalan lancar dan tidak terjejas dengan ketiadaan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke republik itu.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Malaysia masih dalam proses melantik Pesuruhjaya Tinggi baharu ke Singapura susulan persaraan Datuk Zainol Rahim Zainuddin pada April.

“Proses pelantikan Pesuruhjaya Tinggi atau Duta Besar membabitkan banyak saringan bukan hanya di pihak Malaysia malah di pihak negara tuan rumah. 

“Jadi proses ini yang membabitkan Singapura masih berlangsung. Paling penting dengan atau tanpa kehadiran Pesuruhjaya Tinggi, tugas kita berjaya disempurnakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri beberapa mesyuarat berkaitan sidang kemuncak ASEAN ke-37 di sini hari ini.

“Seperti yang anda boleh lihat, pembangunan laluan hijau kita serta pergerakan orang ramai antara Malaysia and Singapura adalah tidak terjejas sama ada kita mempunyai Pesuruhjaya Tinggi atau tidak. Jadi, ia bukan satu isu,” katanya. 

Beliau berkata pergerakan rakyat merentas Tambak Johor, pembukaan sempadan dan langkah meneliti gelembung perjalanan bagi sektor pelancongan telah berjalan dengan atau tanpa kehadiran Pesuruhjaya Tinggi. 

Hishammuddin berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Johor Mohd Solihan Badri hari ini agar jawatan itu perlu segera diisi bagi memudahkan penyelesaian isu membabitkan rakyat Malaysia di republik tersebut.

Terdahulu, Hishammuddin menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ke-22 ASEAN dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN ke-28. 

Isu yang telah dibincangkan termasuk berkaitan Laut China Selatan, perkembangan di wilayah Rakhine di Myanmar, isu Palestin, ancaman bukan traditional dan usaha menangani landskap dunia baharu pasca pandemik COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 secara maya dari ibu kota bermula Khamis hingga Ahad ini. 

Persidangan tahun ini, yang dihoskan Vietnam, terpaksa diadakan secara maya berikutan penularan pandemik COVID-19.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan