AM

Skim Bencana Pekerjaan Perkeso lindungi kebajikan sukarelawan maritim - KP APMM

07/11/2020 09:32 PM

Oleh : Mohd Adli Shahar dan Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 7 Nov -- Peruntukan RM24 juta bagi caruman penuh di bawah Skim Bencana Pekerjaan Perkeso seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021 semalam mampu melindungi kebajikan kira-kira 200 pasukan Sukarelawan Maritim Malaysia.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata skim berkenaan akan memberi perlindungan insurans kepada anggota sukarelawan agensi itu yang turut terdedah kepada risiko sama seperti anggota pasukan keselamatan lain semasa latihan mahupun ketika situasi sebenar.

“Namun, mereka juga terdedah kepada risiko kemalangan ketika turun naik kapal dan sebagainya,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 berkata skim itu akan memberi manfaat kepada 100,000 pekerja termasuk bagi anggota Pasukan Sukarelawan Angkatan Tentera Malaysia, Sukarelawan Simpanan Polis, Sukarelawan Pertahanan Awam Malaysia dan Sukarelawan Maritim Malaysia. 

Dalam pada itu, Mohd Zubil turut berharap peningkatan peruntukan bagi Kementerian Dalam Negeri sebanyak RM17 bilion bagi Belanjawan 2021 berbanding RM16.9 bilion bagi tahun sebelumnya akan membolehkan Op Benteng dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Beliau berkata bagi APMM, bertugas menjaga sempadan di perairan negara bergantung kepada pelbagai aspek termasuk penyelenggaraan aset dan infrastruktur dengan jumlah peruntukan sedemikian akan membolehkan perkara itu dilakukan dengan berkesan.

“Saya mewakili seluruh warga APMM juga merakamkan penghargaan terhadap pengumuman Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM600 bagi penjawat awam yang pasti akan meningkatkan moral anggota pasukan ini dalam melaksanakan Op Benteng yang masih diteruskan sehingga sekarang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata kadar kenaikan elaun pegawai bomba bantuan (PBB) yang dinaikkan daripada kadar RM6 kepada RM8 sejam akan meningkatkan keupayaan penyampaian perkhidmatan PBB khususnya dalam bidang pengurusan kecemasan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menaikkan elaun untuk lebih 1,900 PBB di seluruh negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan