IPOH, 30 Okt -- Tiada denda atau kompaun perlu dikenakan terhadap pemilik premis perniagaan dan bangunan persendirian, sekiranya tidak mengibarkan bendera negeri atau menyalakan lampu bangunan menjelang sambutan Hari Keputeraaan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada Jumaat depan.
Setiausaha Kerajaan negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata segala usaha untuk menggalakkan pemilik premis perniagaan dan bangunan persendirian berbuat demikian perlu dilakukan secara berhemah.
“Segala usaha menyemai semangat taat setia kepada Sultan Perak dalam kalangan rakyat hendaklah dilakukan secara arif dan berdiplomasi, agar semangat kesetiaan yang sahih tumbuh subur dalam jiwa rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ahmad Suaidi berkata bangunan-bangunan kerajaan, institusi pengajian dan sekolah hendaklah mengibarkan bendera negeri, sementara premis perniagaan dan bangunan persendirian termasuk rumah ibadat digalakkan melakukan perkara sama secara sukarela.
Katanya bangunan juga digalakkan menyalakan lampu sehingga pukul 12 tengah malam pada 5 dan 6 Nov.
Pada 26 Okt lepas, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengeluarkan kenyataan mewajibkan semua bangunan termasuk persendirian, agensi kerajaan dan premis perniagaan mengibarkan bendera negeri sempena sambutan Hari Keputeraaan Sultan Perak, Jumaat depan.
Menurut MBI, tindakan kompaun ke atas pemilik premis perniagaan yang gagal mematuhi arahan tersebut akan diambil sebagai langkah akhir selepas usaha memberi nasihat tidak dipatuhi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial