AM

MARDI hasil teknologi kubis bunga tanam di tanah rendah

30/10/2020 10:43 PM

SERDANG, 27 Okt -- Kubis bunga yang lazimnya hanya ditanam di kawasan tanah tinggi kini boleh ditanam di tanah rendah melalui teknologi yang dibangunkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata teknologi itu dijangka dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap kubis bunga import memandangkan pengeluaran dalam negara ketika ini hanya melibatkan kawasan seluas 535 hektar di Cameron Highlands, Pahang dan Kundasang, Sabah.

"Kami akan hebahkan penemuan ini kepada petani dan mereka yang mempunyai kapasiti untuk menceburi (bidang ini) boleh mendapatkan maklumat teknikal daripada MARDI.

"Mereka yang kurang mempunyai kapasiti ada program di bawah kementerian seperti Program Agropreneur Muda dan bantuan pengeluaran makanan daripada Agrobank yang boleh dimohon oleh pengusaha untuk tujuan ini," katanya semasa melancarkan teknologi itu, di sini hari ini.

Kiandee berkata sayuran yang berasal dari kawasan Mediterranean itu berupaya menjana hasil bagi petani memandangkan permintaan dalam negara yang tinggi dengan penggunaan per kapita setahun ialah 1.95 kilogram.

Kiandee berkata pengeluaran tempatan kubis bunga adalah sebanyak 4.66 tan metrik setahun, manakala nilai import dari China berjumlah RM280 juta pada tahun 2018.

Menurutnya, melalui hasil penyelidikan MARDI selama empat tahun itu, kawasan penanaman kubis bunga dapat diperluaskan dengan bilangan petani yang lebih besar serta kos pengeluaran bagi pengangkutan, pemasaran dan operasi yang lebih rendah berbanding penanaman di tanah tinggi.

Kiandee berkata teknologi dibangunkan MARDI itu adalah satu pakej lengkap pengeluaran yang bermula daripada penentuan varieti untuk benih, amalan agronomi bagi hasil yang tinggi, pengurusan perosak dan penyakit serta kawalan kualiti hasil tanaman selepas dituai.

"Varieti C2 dikenal pasti mampu menghasilkan bunga yang berkualiti walaupun ditanam pada suhu tinggi mencecah 40 darjah Celsius," katanya, sambil menambah ia juga mempunyai rasa yang sama dengan kubis bunga yang ditanam di tanah tinggi.

Menurut Kiandee, penuaian pula boleh dijalankan antara 75 dan 85 hari selepas ditanam di dalam struktur pelindung hujan yang berjaring tepi atau terbuka, iaitu kira-kira seminggu lebih awal daripada penanaman di tanah tinggi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan