GEORGE TOWN, 10 Dis (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang menerusi Jawatankuasa Tabung Amanah /Peruntukan Khas Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) meluluskan sebanyak 411 permohonan dengan peruntukan RM16.114 juta sejak 2016.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata peruntukan itu bukan sahaja menggambarkan kesungguhan kerajaan dalam menjaga kebajikan RIBI, malah membuktikan keprihatinan terhadap kelestarian fungsi sosial, budaya dan warisan yang didukung oleh institusi-institusi itu.
Beliau berkata pemberian bantuan kewangan itu bertujuan meringankan beban pengurusan RIBI dalam menanggung kos pembinaan, penyelenggaraan dan keperluan kecemasan.
“Pengurusan rumah ibadat bukan Islam lazimnya bergantung kepada sumbangan penganut, penajaan korporat dan kutipan awam sedangkan kerja pemuliharaan, pengubahsuaian serta pembaikpulihan memerlukan kos yang besar terutama bagi bangunan berusia dan berunsur warisan seni bina yang memerlukan kepakaran khusus.
“Jika kekangan kewangan berlarutan, kerja penyelenggaraan akan tertangguh dan berpotensi mengundang risiko keselamatan kepada pengguna serta para penganut. Justeru, bantuan kewangan ini amat penting agar kerja baik pulih dapat dilaksanakan secara teratur dan selamat,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Replika Cek Bantuan Kewangan Tabung Amanah/ RIBI Pulau Pinang di Auditorium F Komtar, yang turut dihadiri Pengerusi Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Lim Siew Kim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tabung Amanah/ RIBI.
Chow berkata proses permohonan RIBI yang dahulunya secara manual kini beralih sepenuhnya ke platform digital iaitu suatu lonjakan penting dalam usaha memperkemaskan penyampaian perkhidmatan awam dan sistem eRIBI itu dibangunkan oleh Perbadanan Harmoni Pulau Pinang (HARMONICO) sebagai satu inovasi perkhidmatan digital yang proaktif, progresif dan responsif.
Beliau berkata sejak diperkenalkan pada Ogos 2022 sebagai sistem inventori maklumat RIBI, eRIBI kini berkembang menjadi platform lengkap untuk permohonan bantuan kewangan dengan komitmen penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama setahun dan kini berfungsi 100 peratus sebagai Platform Permohonan Bantuan Kewangan RIBI Pulau Pinang.
“Keseluruhan proses adalah daripada permohonan hingga pemantauan telah dipusatkan melalui sistem digital yang lebih cekap, telus, teratur dan mudah diaudit dan lazimnya, transformasi itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi tetapi juga mengurangkan kos pentadbiran dan memastikan sumber awam dimanfaatkan sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata sistem itu juga akan diperkasakan dengan integrasi tambahan bagi menyokong dasar strategik negeri ke arah kelestarian komuniti serta perpaduan sosial.
Sementara itu, Chow berkata sebanyak 78 RIBI menerima bantuan kewangan berjumlah RM2.495 juta dan pihaknya berharap insentif itu dimanfaatkan sebaiknya untuk tujuan pembinaan, pembaikan atau penyelenggaraan premis agar warisan seni bina dan identiti budaya yang menjadi kebanggaan negeri dapat terus dipelihara.
“Saya turut menyeru agar pihak pengurusan RIBI memberikan kerjasama penuh kepada jawatankuasa dalam mematuhi semua prosedur serta piawaian teknikal semasa pelaksanaan kerja-kerja berkenaan demi keselamatan dan kelancaran projek,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial