KUALA LUMPUR, 8 Okt -- Gara-gara terpedaya dengan sebuah iklan pinjaman wang di laman web, seorang peniaga wanita di Ara Damansara, Selangor mengalami kerugian lebih RM90,000.
Berikutan laporan yang dibuat mangsa berusia 57 tahun, semalam polis menangkap lapan suspek lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing, di sekitar Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata mengikut laporan, pertengahan tahun lepas mangsa telah membuat pinjaman sebanyak RM10,000, selepas terlihat iklan berkenaan yang menawarkan pinjaman tinggi.
“Namun mangsa mula mendapat gangguan dan ancaman daripada suspek, setelah gagal membayar ansuran pinjaman sejak bulan Disember tahun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ezanee berkata suspek tetap terus mengganggu mangsa dan keluarganya, walaupun sudah lebih daripada RM100,000 dibayar kepada suspek.
“Oleh yang demikian, polis telah menghantar pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, untuk menahan suspek yang sudah dikenal pasti,” katanya.
Susulan itu, Nik Ezanee berkata kesemua sembilan suspek berusia antara 20 hingga 50 tahun itu, direman selama sehari manakala kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial