NEW DELHI, 25 Sept -- Selebriti, peminat dan pemimpin politik memberikan penghormatan terakhir kepada legenda industri hiburan India, S.P. Balasubrahmanyam.
Penghibur itu meninggal dunia pada Jumaat di sebuah hospital di bandar Chennai pada usia 74 tahun.
Pemilik nama asal Sripathi Panditharadhyula Balasubrahmanyam, beliau lebih dikenali sebagai SPB atau Balu, telah merakamkan lebih 40,000 lagu dalam 16 bahasa sepanjang kariernya selama lima dekad.
Mendendangkan lagu untuk bintang filem mewakili generasi berbeza seperti M.G. Ramachandran, Shivaji Ganesan, Kamal Haasan dan Salman Khan, beliau juga bergelar pelakon.
"Anda telah menjadi suara saya selama bertahun-tahun. Suara dan kenangan bersama anda akan terus abadi dalam diri saya buat selama-lamanya," kata bintang filem Tamil Rajinikanth.
Salman Khan pula "sedih" dengan kehilangan Balasubrahmanyam.
"Dunia seni India akan muram", kata Perdana Menteri Narendra Modi.
"Dia bukan hanya sekadar penyanyi. Dia seorang penghibur. Kehilangan besar buat industri kita," tulis pelakon Hansika dalam Twitternya.
Penyanyi dan komposer muzik itu pernah didiagnosis COVID-19 pada Ogos.
Ujian semula pada bulan ini didapati negatif tetapi masih ditempatkan di unit rawatan rapi.
Keadaan kesihatan Balasubrahmanyam semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 1.04 tengah hari, kata MGM Healthcare dalam satu kenyataan, hospital tempat beliau menerima rawatan.
Balasubrahmanyam dilahirkan pada 1946 di Nellore, Andhra Pradesh.
"Saya sangat mengagumi beliau ketika saya mendengar lagunya yang mengasyikkan, cintanya yang kuat terhadap bahasa ibundanya dan penampilan luar biasa serta sangat berbakat," kata Naib Presiden India M. Venkaiah Naidu dalam satu kenyataan.
"Lagu-lagunya dalam pelbagai bahasa menawan hati jutaan peminat. Suaranya akan terus mekar," kata pemimpin Kongres Nasional India, Rahul Gandhi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial