AM

Anggota wanita skuad elit STORM bomba cekal tempuhi cabaran

17/09/2020 07:16 PM

MARANG, 17 Sept  -- Penyertaan anggota wanita dalam Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia  (JBPM) yang akan ditugaskan mengendali operasi menyelamat berskala besar dan lebih mencabar, membuktikan mereka juga setanding anggota lelaki.

Bagi Wann Iryani Arifin, 30, meskipun latihan dan ujian yang dilalui untuk melayakkan diri sebagai anggota skuad elit STORM JBPM itu sangat mencabar, namun keinginannya untuk menjadi anggota penyelamat yang serba boleh mengatasi segala-galanya.

“Antara yang terpaksa kami hadapi adalah ujian berlari sambil membawa bebanan peralatan menyelamat kira-kira 20 kilogram, latihan bangun tubi, mendagu dan melompat jauh. Walaupun kami wanita, namun tiada keistimewaan diberikan. Ujian yang dilalui sama seperti peserta lelaki,” katanya ketika ditemui pada majlis penutupan Kursus Asas STORM Siri 1/2020 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai di sini hari ini.

Wann Iryani yang bertugas di Pusat Gerakan Operasi (PGO) di ibu pejabat JBPM Kedah itu merupakan antara empat anggota wanita yang menamatkan kursus STORM siri pertama selama empat minggu itu.

Beliau yang gemar melakukan aktiviti lasak sejak kecil mengakui kecenderungan beliau menyertai operasi menyelamat yang mencabar seperti di bangunan tinggi, telah mendorong beliau menyertai skuad elit STORM jabatan bomba.

Seorang lagi pelatih, Norazizah Nordin, 24, anggota di Balai Bomba Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur  berkata meskipun pada awalnya keluarga menentang hasrat beliau menyertai STORM, namun beliau nekad untuk menyertai kursus intensif selama sebulan itu.

“Bukan sahaja menyertai STORM, ibu bapa saya agak menentang ketika saya menyertai pasukan bomba setahun yang lalu.

“Ketika latihan juga, saya pernah rasa ingin putus asa sebab terlalu penat dan risau tidak dapat melepasi semua ujian tetapi ahli keluarga yang banyak memberikan semangat,” kata gadis berasal dari Inanam Sabah itu yang turut merangkul anugerah bagi Teori Terbaik Asas Khas STORM Siri 1/2020.

Sementara itu, Komander STORM Ismail Abdul Ghani berkata setakat ini pasukan itu mempunyai enam orang anggota wanita dan jumlah tersebut akan ditambah dari semasa ke semasa.

“Penyertaan anggota wanita dalam STORM sangat penting terutama untuk menyelamatkan atau memberi bantuan kepada mangsa wanita”.

“Namun, kita tidak mahu memaksa mereka menyertai STORM kerana ujiannya sangat mencabar dan standard yang tinggi sama seperti anggota lelaki. Jadi biarlah mereka sertai pasukan ini kerana betul-betul minat,” katanya menambah sejak ditubuhkan pada 2011, STORM berjaya merekrut seramai 524 anggota setakat ini.

Katanya, JBPM menyasarkan sekurang-kurangnya lima peratus anggota daripada keseluruhan 14,000 anggota bomba seluruh negara akan menyertai pasukan STORM, tidak lama lagi.

Majlis Penutupan Kursus Asas STORM Siri 1/2020 itu menyaksikan seramai 45 pegawai dan anggota bomba dari seluruh negara menerima plak tamat khusus yang disampaikan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM Datuk Soiman Jahid.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan