Oleh Kamaliza Kamaruddin
DUNGUN, 17 Sept -- Fatisha Agro Farm (M) Sdn Bhd, pemilik ladang cendawan terbesar di Pantai Timur menyasarkan pengeluaran cendawan tiram kelabu dan kukur (dikenali juga sebagai kulat sisir) yang segar sebanyak 500 kilogram (kg) sehari atau 15 tan setiap bulan menjelang Disember ini.
Ketua Pegawai Eksekutif, Rusila Yusof berkata buat masa ini pengeluaran cendawan segar hanya 150 kg sehari yang menjana jualan bernilai kira-kira RM50,000 sebulan.
“Fatisha Agro Farm bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) untuk program mentor menti yang melibatkan 12 peserta daripada kalangan keluarga B40 yang tinggal di sekitar kawasan pentadbiran Ketengah.
"Melalui kerjasama itu, kami akan membimbing peserta untuk menjadi usahawan cendawan dan membantu memasarkan hasil tanaman mereka untuk pasaran tempatan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di ladang cendawan Fatisha Agro di Al Muktafi Billah Shah (AMBS), di sini baru-baru ini.
Syarikat tersebut mempunyai 11 kakitangan ladang untuk memproses cendawan yang ditanam di 12 rumah cendawan. Kesemua rumah cendawan ini boleh memuatkan 180,000 bongkah cendawan pada satu-satu masa.
Beliau berkata permintaan terhadap cendawan segar sangat tinggi dan pengeluaran di ladang itu masih belum mencukupi untuk memenuhi kehendak pasaran di Terengganu.
Buat masa ini, Fatisha Agro Farm hanya mampu membekalkan cendawan untuk pasaran Kuala Terengganu dan Kemaman sahaja, katanya.
“Sebab itu, kami turut menjual beg cendawan serta benih berkualiti kepada ribuan usahawan di seluruh negara agar mereka turut memperoleh pendapatan lumayan melalui tanaman ini," katanya yang pernah menerbitkan buku untuk usahawan baharu dalam industri tanaman tersebut.
Rusila, pemegang Sarjana Sains Kimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata beliau memulakan perniagaan cendawan pada 2007 selepas gagal mendapatkan kerja yang sesuai mengikut kelulusannya.
"Melihat kesungguhan saya dalam berniaga, akhirnya kakak bersetuju beri modal perniagaan sebanyak RM20,000 dan sejak itu saya mula menanam cendawan di belakang rumah sewa di Sungai Ramal Dalam, Selangor dan kemudian balik ke Kemaman untuk membuka ladang baharu," katanya.
Beliau berkata hidupnya berubah setelah memenangi hadiah saguhati bernilai RM500,000 menerusi pertandingan Cabaran Perniagaan Luar Bandar anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah pada 2012.
Bagi membuktikan komitmen secara serius dan tidak mahu mensia-siakan geran bernilai RM500,000 itu, beliau nekad berpindah ke AMBS yang terletak jauh di Hulu Dungun pada 2013 untuk memulakan projek tanaman berskala besar iaitu lima rumah cendawan yang mampu memuatkan 75,000 beg cendawan pada satu-satu masa.
"Keputusan saya berpindah ke AMBS sangat tepat kerana Ketengah terus menyediakan pelbagai platform untuk mempromosikan perniagaan cendawan saya melalui karnival dan program keusahawanan di seluruh negara.
"Pengeluaran tidak hanya terhad kepada cendawan segar, malah saya dibimbing untuk menghasilkan produk hiliran lain seperti membekalkan bongkah cendawan, mesin pemprosesan, makanan sejuk beku berasaskan cendawan serta diberi peluang untuk membuka restoran iaitu Fatisha Mushroom Kopitiam bersama seorang rakan kongsi di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) AMBS," katanya.
Rusila juga berterima kasih atas segala bantuan, bimbingan serta sokongan yang diterimanya selama ini daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial