AM

Lebih 100 Orang Diselia Di Pusat Reintegrasi Penghuni Kuala Krai Diraikan Sempena Aidilfitri

24/03/2026 01:44 PM

KUALA KRAI, 24 Mac (Bernama) -- Lebih 100 Orang Diselia (ODS) di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kuala Krai diraikan sempena Aidilfitri hari ini.

Ketua PRP Kuala Krai Penguasa Penjara Jaini Ayong Rajawa berkata majlis yang diadakan itu bertujuan memberi peluang kepada ODS meluangkan masa bersama keluarga mereka dengan menikmati makanan yang disediakan seperti ketupat, biskut raya dan nasi arab.

Beliau berkata pada tahun ini juga pihaknya menerima peruntukan daripada Jabatan Penjara dalam sektor pertanian untuk mengusahakan tanaman seperti kangkung, bendi, bawang dan lada.

“Kesemua tanaman ini akan dijual di sekitar Kuala Krai dan hasil jualan dikembalikan kepada kerajaan menerusi akaun amanah,” katanya. 

Sementara itu, seorang ODS Amin (bukan nama sebenar), 24, berkata dia amat merindui masakan arwah ibunya setiap kali meraikan Aidilfitri, terutamanya roti jalan dan kuah kari ayam.

“Arwah ibu saya meninggal dunia ketika saya berada di PRP pada 2024 akibat kencing manis dan dia pernah pesan pada saya sebelum buat apa-apa keputusan fikir dahulu, jangan bertindak melulu.

“Apabila saya keluar dari pusat ini bulan depan, perkara pertama yang ingin saya lakukan adalah menziarahi kubur arwah ibu di Pengkalan Chepa, Kota Bharu dan arwah bapa di Tumpat,” katanya yang telah menjalani hukuman penjara selama lima tahun dan dua sebatan kerana samun berkumpulan dengan senjata.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan