AM

Kampung Budaya Terengganu julang kembali warisan tradisi masyarakat Melayu

03/09/2020 08:32 PM

KUALA TERENGGANU, 3 Sept -- Istana Tengku Long dan Istana Tengku Nik yang berusia lebih 100 tahun merupakan antara warisan Melayu Terengganu yang menanti pengunjung di Kampung Budaya Terengganu di Muzium Negeri di sini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Kampung Budaya Terengganu yang berkonsepkan muzium hidup itu merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk mewujudkan ‘one stop centre’ yang menghimpunkan pelbagai seni budaya warisan dari seluruh Terengganu.

“Berlatarbelakangkan suasana kehidupan sebenar masyarakat Melayu lama, kampung budaya ini merupakan kesempatan terbaik bagi pelancong untuk beramai-ramai datang ke Terengganu dan merasai pengalaman percutian bersejarah.

“Ini (Kampung Budaya Terengganu) juga merupakan platform terbaik untuk anak-anak muda mengenali sebahagian dari tradisi nenek moyang mereka kerana selain dapat merasai kepelbagaian suasana masyarakat di Terengganu, terdapat juga permainan dan peralatan tradisional yang tidak pernah dilihat oleh generasi hari ini,” katanya selepas merasmikan Kampung Budaya Terengganu, di sini hari ini.

Beliau berkata ia juga turut menyumbang kepada peningkatan ekonomi penduduk tempatan melalui aktiviti-aktiviti pelancongan berkaitan seni budaya Terengganu.

Selain memaparkan lapan elemen penting dalam warisan sejarah Melayu Terengganu iaitu Rumah Bujang Berserambi atau Istana Tengku Nik; Rumah Limas Belanda; Rumah Bujang Berpeleh; Rumah Bujang Berserambi Selasar; Rumah Limas Bungkus atau Istana Tengku Long; Galeri Pelayaran; Rumah Nelayan dan Laman Warisan, Kampung Budaya Terengganu turut menempatkan dua perahu besar tinggalan sejarah.

Setiap elemen tersebut, katanya, mempunyai identiti yang sinonim dengan setiap daerah di Terengganu dan diuruskan oleh pejabat daerah masing-masing yang digelarkan ‘bapa angkat’.

Selain pameran rumah asal tradisional negeri, pengunjung kampung budaya itu juga akan turut disajikan dengan pelbagai demonstrasi dan aktiviti kesenian negeri seperti demonstrasi pembuatan laksa Terengganu menggunakan alat tradisional ‘kebok’ dan sukan rakyat sepak bulu ayam.

Produk pelancongan terbaharu Terengganu itu dibuka secara percuma kepada pengunjung bermula hari ini hingga Ahad (6 Sept), dan selepas itu bayaran sebanyak RM15 dikenakan bagi warganegara dewasa dan RM10 kanak-kanak.

Bagi bukan warganegara pula, bayaran sebanyak RM30 bagi dewasa, dan RM 20 untuk kanak-kanak, manakala warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) masing-masing sebanyak RM10.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman berkata Kampung Budaya Terengganu itu dijangka menerima 100,000 pengunjung dalam tempoh sebulan bermula hari ini.

“Kita yakin dapat mencapai sasaran itu memandangkan jumlah pelancong ke Taman Tamadun Islam yang terletak bersebelahan Kampung Budaya Terengganu ini telah mencecah seramai 94,000 orang sepanjang bulan lepas.

“Kepelbagaian budaya warisan yang terdapat di sini mampu melonjakkan lagi industri pelancongan di Terengganu… namun, pada masa sama pengunjung masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan COVID-19 sepanjang berada di kawasan ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan