Oleh Kamarul Halim M Kamal
BATU PAHAT, 7 Jun (Bernama) -- Jika disebut manisan halwa maskat, ramai pasti terbayang makanan tradisi negeri-negeri di utara Semenanjung.
Di Kampung Bintang, Batu Pahat, sepasang suami isteri tekun meneruskan legasi manisan tradisional itu, bukan sekadar untuk dijual, tetapi demi memastikan warisan ini terus diingati generasi mendatang.
Bagi Shamsul Bahri Ahmad, 64, dan isterinya, Fauziah Hassan, 55, halwa maskat bukan sekadar manisan, namun lambang kasih keluarga, sejarah, dan ketekunan.
Walaupun proses pembuatannya rumit dan memakan masa, pasangan ini gigih mengusahakannya supaya manisan berusia ratusan tahun ini tidak tenggelam dalam arus modenisasi.
“Kami buat selagi mampu. Ini bukan hanya tentang berniaga, tapi tentang menyambung warisan yang hampir dilupakan,” kata Shamsul ketika ditemui Bernama.
Walaupun halwa maskat dikaitkan dengan masyarakat Melayu zaman dahulu, asal-usulnya sebenarnya berpunca dari Muscat, Oman, dan pernah menjadi hidangan istana Kesultanan Melayu.
Untuk disesuaikan dengan masyarakat tempatan, kuih itu diolah dengan rasa dan bahan yang lebih dekat dengan selera Melayu.
Dengan hanya mengusahakan sekitar 200 kilogram pada 2012, Shamsul kini menghasilkan hingga 800 kilogram halwa maskat setiap musim perayaan, hasil permintaan yang semakin meningkat.
Namun, beliau hanya membuatnya sekali sebulan kerana proses pembuatannya menuntut komitmen tinggi.
“Nak hasilkan halwa maskat yang asli, kena guna tepung yang dicuci bersih, minyak sapi, gula batu, buah pelaga, badam dan semuanya kena digaul berjam-jam. Dan paling penting, kuali dan sudip kena dari tembaga barulah warnanya cantik, tak gelap,” katanya.
Halwa maskat hasil air tangan Shamsul bukan sahaja menjadi kegemaran penduduk setempat, malah turut dinikmati tokoh-tokoh penting negara.
Antara pelanggan tetap beliau, termasuk Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan keluarga Allahyarham Datuk Onn Jaafar.
Paling membanggakan, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim juga antara penggemar kuih itu, dengan tempahan khas dibuat setiap kali Aidilfitri menerusi pejabat kerajaan negeri.
Shamsul turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor yang menyokong usahanya memperkenalkan halwa maskat melalui pelbagai program, termasuk Majestic Johor Festival (MJF).
Kini, beliau sedang melatih anak ketiganya, Muhammad Haziq, 29, supaya seni pembuatan kuih itu tidak terhenti.
“Saya belajar dari ibu, ibu belajar daripada moyangnya. Saya pula nak warisan ini terus hidup. Mungkin orang kata ini cuma manisan, tapi bagi kami, ini adalah warisan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial