AM

Dakwaan imbuhan RM500,000, ADUN Kemasik buat laporan polis

12/08/2020 06:13 PM

KUALA TERENGGANU, 12 Ogos  -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili yang dikaitkan dengan wang imbuhan RM500,000 menerusi projek pasir hari ini tampil membuat laporan polis.

Beliau yang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu bersama peguamnya Mohd Kamaruzaman A.Wahab berkata laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan terhadap isu yang mengaitkan beliau dengan perkara berkenaan selepas ia menjadi tular di media sosial.

“Ini adalah laporan pertama saya selepas ‘tangkap layar’ ditularkan. Fitnah itu telah memberi kesan besar kepada saya, keluarga dan masyarakat berdekatan dengan saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, di sini hari ini.

Menurut laporan itu, Saiful Azmi mendakwa beliau tidak terlibat dan tiada kaitan dengan urusan bersama kontraktor terbabit.

Sejak Isnin, beberapa 'tangkap layar' perbualan menerusi aplikasi WhatsApp mengenai projek pasir dan imbuhan yang perlu diberikan kepada Adun terbabit, tular di media sosial, dan ia dikatakan perbualan antara seorang pegawai kanan sebuah institusi milik kerajaan negeri, yang mewakili Adun itu dengan seorang kontraktor.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan dan memaklumkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat kes itu.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan