AM

Kes edar dadah: Mahkamah persekutuan tetapkan 26 Ogos putuskan rayuan rakyat Iran

15/07/2020 06:25 PM

PUTRAJAYA,15 Julai  -- Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusannya sehingga 26 Ogos untuk memutuskan rayuan kes pengedaran dadah membabitkan tiga rakyat Iran dan seorang pekerja pembinaan.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel tujuh hakim menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak dalam rayuan tersebut.

Turut bersidang Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Hasnah Mohammed Hashim serta Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Rayuan itu dikemukakan oleh Abdullah Atan dan rakyat Iran iaitu Mohammad Reza Ghaem Panah Nezamali serta Hasan Javadipirouz Avazali berhubung sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap mereka kerana mengedar dadah manakala pendakwaan mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah membebaskan Mahmood Yary Mohammad.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Abdullah berhujah bahawa sabitan terhadap anak guamnya perlu dibatalkan dan tertuduh hendaklah dilepas serta dibebaskan kerana hakim Mahkamah Tinggi tidak mematuhi Seksyen 180(4) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

Beliau berkata hakim perbicaraan itu telah memutuskan bahawa terdapat kes prima facie berhubung elemen pengedaran berdasarkan dapatan pemilikan sebenar dan mengguna pakai anggapan pengedaran di bawah Seksyen 37 (da) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang bercanggah dengan Seksyen 180 (4) KPJ.

Seksyen 37 (da) ADB menyatakan bahawa sesiapa yang didapati memiliki 200 gram ganja hendaklah dianggap sebagai mengedar dadah itu.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar pula berhujah bahawa anggapan di bawah Seksyen 37 (da) ADB boleh diguna pakai oleh pendakwaan untuk membuktikan prima facie dalam kes pengedaran dadah.

Beliau berkata Mahkamah Tinggi mengguna pakai anggapan itu berdasarkan keterangan boleh dipercayai ahli kimia sambil menambah bahawa ia menyokong anggapan di bawah Seksyen 37 (da) ADB.

Mohd Dusuki berkata Seksyen 37 (da) ADB adalah satu peruntukan undang-undang spesifik yang boleh diguna pakai oleh pendakwaan manakala prosedur di bawah Seksyen 180(4) KPJ menyentuh beban pembuktian yang digunakan sebagai panduan umum bagi membuktikan sesuatu kes.

Peguam Kitson Foong yang mewakili Hasan Javadipirouz menerima pakai hujah Hisyam berhubung Seksyen 180(4) KPJ dan menambah bahawa Mahkamah Tinggi serta Mahkamah Rayuan telah terkhilaf berhubung pemilikan dadah membabitkan anak guamnya.

Abdullah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi serta dijatuhi hukuman mati bagi kesalahan mengedar 4,213 gram ganja pada 15 Mei 2016 di sebuah bilik sewa di Bandar Baru Permas Jaya, Johor dan rayuannya telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

Ketiga-tiga rakyat Iran telah disabitkan dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi kerana mengedar 15,821 gram metamfetamin di sebuah rumah di Jalan Dutamas Melor, Sentul, Kuala Lumpur pada 11 Feb 2012.

Mohammad Reza, Hasan Javadipirouz gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan. Bagaimanapun, mahkamah sama telah mengenepikan sabitan Mahmood Yary dan membebaskannya. 

Hisyam turut mewakili Mohammad Reza manakala Mahmood Yary diwakili peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan