AM

AKSB jamin bekalan air bersih penduduk Bachok pulih menjelang Aidiladha

15/07/2020 04:46 PM

BACHOK, 15 Julai  -- Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memberi jaminan kepada lebih 6,000 pengguna air bersih di Bachok yang terputus bekalan sejak tiga hari lepas, akan mendapat bekalan air bersih menjelang Hari Raya Aidiladha, iaitu pada akhir bulan ini.

Jurutera Operasi AKSB Jajahan Kota Bharu dan Bachok Ezze Ezani berkata, kerja-kerja membaik pulih bekalan kawasan itu termasuk menukar penapis air dan paip yang berkarat, sedang giat dijalankan tanpa halangan.

“Bekalan akan dapat dipulihkan secara berperingkat-peringkat dalam sehari dua lagi, berasaskan kerja-kerja mengenainya kini siap 75 peratus,” katanya kepada pemberita sempena lawatan anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Hussin, di Loji Rawatan Air Kampung Chap di sini, hari ini.

Ezze berkata, selain mendapat bekalan air yang lebih bersih, mereka juga diberi jaminan akan mendapat bekalan yang mencukupi, walaupun pengguna dijangka bertambah apabila lebih ramai penduduk di perantauan pulang untuk menyambut hari raya berkenaan.

Katanya, sebaik kerja-kerja itu selesai, adalah dijangkakan loji rawatan itu mampu membekalkan air sejumlah 10 juta liter sehari.

Sementara itu, Mohd Huzaimy berharap rakyat Bachok dapat bersabar dan yakin usaha pemulihan itu dapat disegerakan sebelum tempoh 10 hari, sebagaimana diberikan AKSB sebelum ini.

Katanya, sementara menunggu pemulihan itu pihak AKSB membekalkan air  melalui lori-lori tangki secara bergerak, terutama di kawasan yang strategik seperti balai polis, sekolah, pejabat kerajaan, dan hospital, setiap hari.

Beliau berkata, sebanyak 11 tangki air besar sudah ditempatkan di kawasan itu sejak bekalan air dihentikan sementara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan